Tuesday 6 December 2011

Pesanan Buat Diri

Posted by mom at 16:41 0 comments
“Ok, semua! Yang 4 tahun, mari sini, cikgu mandikan!” jerit saya pada anak-anak tadika.
Begitulah rutin saya setiap hari sepanjang mengendalikan tadika selama sebulan setengah. Selama sebulan dibantu oleh emak menguruskan 13 anak-anak tadika dan 4 orang anak sendiri. Lebih kurang 2 minggu selebihnya menguruskan sendiri 12 orang anak tadika termasuk anak-anak saya.
Proses pengajaran dan pembelajaran tidaklah begitu sukar, kerana konsep yang digunakan adalah lebih kepada pembelajaran tidak formal, ala-ala mengaji Quran di hadapan guru. Setiap anak-anak akan duduk menghadap saya dan emak setiap hari, dan yang bagusnya, kami dapat mengesan tahap pemahaman setiap anak bagi setiap subjek. Kaedah sebegini membawa kepada kesimpulan, cara mengajar untuk setiap daripada mereka adalah berbeza mengikut potensi dan kecenderungan masing-masing.
Ada anak yang cekap dalam matematik, lemah pula membaca.
Ada yang cekap membaca, tetapi lambat pula memahami operasi tambah dan tolak.
Ada pula yang rajin dan sangat empati, tetapi sangat lemah membaca mahupun mengira.
Peribadi dan tingkah laku anak-anak itu, menyumbang kepada daya upaya akademik mereka.
Namun begitu, cabaran yang paling sukar dan memenatkan ialah pada memenuhi keperluan biologi setiap anak-anak ini.
Tugas saya dan emak bukan hanya mengajar, tetapi juga perlu memastikan mereka cukup makan dan minum, tidur pada waktu yang ditetapkan, menguruskan proses penyahtinjaan, menenangkan emosi mereka dan soal-soal kemanusiaan yang lain.
Kesibukan dan kepenatan itu, benar-benar membuatkan saya rindu pada sesuatu yang ‘pudar’ seketika sepanjang tempoh tersebut.
Saya rindukan Tuhan saya.
“Ya, Allah! Betapa aku harapkan waktu lapang untuk bersamaMu tanpa gangguan. Kangen sekali!” monolog saya hampir setiap ketika.
Tidak sabar menanti ketibaan cuti sekolah untuk berehat dari urusan habluminannas tersebut.
Apa berlaku?
Cuti sekolah bermula. Hanya tinggal saya dan anak-anak sendiri. Banyak sekali masa lapang dan terang. Adakah saya berada di tikar sejadah sambil memegang Quran semasa tiada gangguan?
Tidak pula. Rasa rindu semasa sibuk itu hanya tinggal angan-angan sahaja.
Masa lopong dan lapang ini hanya menambahkan rasa alpa dan jarang sekali mahu merindui Tuhan.
Semakin tidak sibuk, semakin malas pula jadinya.
Rasulullah
Baginda junjungan besar Muhammad SAW adalah manusia yang paling sibuk di dunia.  Mentadbir Negara, menguruskan permasalahan agama, mengendalikan rumahtangga dengan 8 orang isteri (setelah kewafatan Sayyidatina Khadijah) dan sebagainya.
Kesibukan baginda tidak pernah menjadi alasan untuk baginda melupakan kekasihNya, malahan, bagindalah hambaNya yang paling akrab dengan Tuhannya.
Lantaran itu, saya secara peribadi merasakan, setiap yang bergelar mukmin perlu sentiasa memenuhkan hidupnya dengan rutin yang bermanfaat untuk diri dan agama. Kesibukan itu akan membuatkan diri lebih menghargai Tuhannya.
Biasalah.
Isteri hanya terkenangkan Tuhan apabila suaminya bermain cinta dengan wanita lain.
Suami menadah tangan mengharapkan bantuan penciptanya tatkala kesempitan hidup.
Pelajar bermunajat semahunya semasa musim peperiksaan.
Kebiasaannya, naluri manusia hanya mahukan Tuhannya semasa terdesak dan tersedak. Jika  tiada apa, lupa pula pada keberadaan Tuhan itu!
“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, yang berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran”
- Al-Asr: 1-3.
Meminjam kata-kata seorang teman, ayuh gerakkan otot dan otak, memenuhi masa terluang dengan cekap dan amanah. Masa yang ada bukan untuk dibazirkan dengan tidak berbuat apa-apa. Setiap detik dan ketika itu akan dituntut di hari pembalasan yang tiada hujungnya.
Mudah-mudahan kita semua akan menjadi manusia yang paling bermanfaat untuk agama.
Wallahua’lam.

 
 

WARIDAH LOTHPI Copyright 2009 Template Designed by Ikhwan Nain