Saturday 29 October 2011

Jom bercerita!

Posted by mom at 19:13 0 comments
Ini semua salah Iswara!

"Umar, cuba tengok tu! Fuiyo dahsyatla, awan tu tak tergolek jatuh atas kita pun, walaupun tak ada tali," kata saya semasa memandu dalam perjalanan ke rumah emak di Kampung Melayu Subang.
"Ye lah Ummi, matahari tu pun sama. Elok je kat situ, tak jatuh pun," jawab Umar Hakim, anak sulung saya.
"Allah tu hebat kan, pandai Allah buat semua benda kat sekeliling kita ni, tak ada cacat langsung. Cuba Umar tengok benda yang manusia buat, sama hebat tak dengan yang Allah buat?" tanya saya.
"Tak, Allah lagi 'terer'!"jawab Umar dan Khadijah serentak.

Saya sangat menghargai kesempatan setiap kali di dalam kereta bersama anak-anak. Kebiasaannya fikrah mereka mudah dibentuk pada waktu ini, mungkin kerana tidak ada gangguan dari televisyen, komputer dan sebagainya. Mereka akan lebih fokus apabila saya dan suami bercerita tentang apa saja.

Pernah ada satu ketika, saya tersalah jalan semasa memandu pulang ke Putrajaya dari Subang. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa kurang sejam, terlajak hingga 2 jam! Allah saja yang tahu keadaan pada waktu itu. Memandu sendirian, kereta manual, bersama 4 anak kecil, tengahari pula tu! Bukan senang.

Anak-anak lapar.

Panas.

Pendingin hawa tak cukup kuat.

Semua alasan yang boleh menimbulkan kemarahan semua yang berada di dalam kereta.
Namun Alhamdulillah, tiada siapa pun yang marah. Perjalanan 2 jam itu penuh dengan cerita dan ketawa. Dalam tempoh itu juga saya dapat mengesan, apakah tindakan dan perasaan anak-anak ini apabila berada dalam keadaan menduga itu.

"Ni semua salah Iswara ni, kalau tak mesti kita tak sesat!" kata anak-anak. Sudah terbiasa dengan Avanza.
"Eh kesiannya, cuba tengok makcik tu! Bawa anak kecil 2 orang tengah-tengah panas ni. Jalan kaki je. Umar dan Jah tengah jalan kaki ke?" provok saya.
"Tak,"jawab mereka antara dengar dan tidak.
"Macam tu la anak-anak, kadang-kadang kita rasa kita susah, padahal sebenarnya ada ramai lagi orang yang lebih susah dari kita. Allah nak uji kita sesekali, apa salahnya. Nak tengok kita sabar ke tidak, tenang ke merungut. Kalau sabar, dapat pahala, kalau merungut berdosa, penat pula tu."
Mereka terdiam. Perjalanan seterusnya lebih tenang dan penuh gurau senda. Alhamdulillah setelah 2 jam dan melalui 4 tol, barulah kami tiba di Putrajaya. Akhirnya!

"Ummi, lain kali kita sesat lagi nak, seronok la," kata Umar dan Khadijah.

Aduh!

Thursday 27 October 2011

Cikguku Sayang

Posted by mom at 22:46 0 comments
Tiba-tiba terasa sentimental pula sejak kebelakangan ini. Terimbau kenangan lama di zaman muda-muda semasa masih bersekolah. Saya bukanlah termasuk dalam kelompok pelajar cemerlang, hanya biasa-biasa sahaja. Tidak pernah juga saya menimbulkan masalah disiplin.

Cuma satu sahaja masalah besar saya. Saya sungguh malas.

Ya, malas.

Jarang sekali saya membuat kerja sekolah atau ulangkaji di rumah. Dari usia 7 hingga 17 tahun, saya hanya menjawab soalan peperiksaan berdasarkan apa yang diajar guru di dalam kelas, dan juga ulangkaji saat akhir pada malam peperiksaan. Hanya itu.

Ya, saya tahu. Memang gila!

Namun begitu, ada beberapa orang guru yang masih tersimpan kemas dalam ingatan saya. Mereka adalah manusia yang berjaya menundukkan perangai malas yang bersarang itu. Tabik pada mereka!

 Miss Vijaya

“Siapa yang salah isi nama negara pada peta ni, hah!?” tanya Miss Vijaya, guru Bahasa Inggeris semasa dalam kelas 5 Merpati.

Saya baru sahaja berpindah ke Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Maluri pada ketika itu. Tiba-tiba dikejutkan pula dengan ujian bulanan pada minggu berikutnya. Subjek yang lain, tidaklah bermasalah kerana guru-gurunya masih boleh lagi bertolak ansur.

Tidak dengan Miss Vijaya.

Untuk ujian Bahasa Inggeris tersebut, kami diminta untuk mengisi nama-nama  negara pada peta Asia Tenggara. Allahu, jangankan nama negara, Asia Tenggara pun saya tidak pernah dengar. Sudahnya, ‘hentam sajalah’. Saya isikan tempat-tempat kosong dengan nama –nama negeri di Semenanjung  Malaysia!

Gerun juga hendak mengaku. Tak tahu apa yang mahu dijangka. Mujur ada 3 lagi pelajar yang dengan jujur dan ikhlas tampil membuat pengakuan. Tak mengapa, ada ‘geng’. Tidaklah malu seorang diri nanti.

Kami tampil ke hadapan kelas, dan tidak semena-mena, pipi kami  ditarik bergilir-gilir oleh Miss Vijaya sekuat hati. Aduh, nasib baik saya belum kenal sesiapa. Pengalaman ngeri itu tidaklah begitu menjatuhkan maruah diri. Namun pengajaran besarnya, jangan main-main dengan Miss Vijaya!

Tahun 6 berikutnya, saya mula serius dengan Bahasa Inggeris. Miss Vijaya adalah orang pertama yang mengesan kebolehan saya bercerita, lantas dia terus menghantar saya mewakili sekolah untuk pertandingan bercerita di PWTC pada tahun tersebut. Sebelumnya, beberapa kali juga beliau menyuruh saya membuat persembahan bercerita di hadapan perhimpunan pelajar. Saya dan sahabat baik saya, Suria, menggunakan ‘puppet’ sebagai tarikan dengan membawa cerita, ‘The Clever Kingfisher’.

Ah, indah sungguh memori itu.

Pada hari terakhir persekolahan tahun 6, semua pelajar menangis  atas sebab yang pelbagai.
Saya juga menangis. Namun alasannya  cuma satu; saya tidak akan bertemu lagi dengan Miss Vijaya.

If you are reading this, thank you for everything, Miss Vijaya!

Pn. Aw Soon Kiat
  
Semenjak dari sekolah rendah, saya tidak begitu menggemari subjek matematik. Tak tahulah kenapa. Mungkin kerana sikap kurang rajin untuk memeningkan kepala, maka saya lebih suka mengambil jalan mudah, tak perlu buat lagi matematik!

Keputusan UPSR, semua A kecuali matematik. Tingkatan 1 dan 2, matematik cuma ‘cukup makan’ sahaja.

Segala-galanya berubah semasa di tingkatan 3.

Terpaku saya semasa kali pertama guru matematik memasuki kelas 3 Anggerik ketika itu.

Di dalam hati, “Cantiknya cikgu ni!”

Bukan sahaja beliau cantik, malah pesonanya semasa mengajar cukup mengujakan sesiapa sahaja yang memandang. Seingat saya, beliau tidak pernah marah-marah. Kerja rumah yang diberinya sentiasa lebih dari 2 mukasurat, tetapi sedikit pun saya tidak pernah mengeluh.

Oh, benarlah, cinta itu buta!

Untuk pertama kali, saya mendapat A bagi subjek matematik dalam PMR. Tambah unik lagi, semasa menjawab soalan peperiksaan tersebut, saya seperti terdengar-dengar suara Pn. Aw memberikan penjelasan pada soalan-soalan yang sukar. Sungguh luar biasa.

Alhamdulillah, Pn. Aw Soon Kiat turut mengajar Matematik Moden semasa di tingkatan 4 dan 5. Keputusan peperiksaan masih sama seperti yang sebelumnya.

Jika Pn. Aw membaca coretan ini, terima kasih atas segalanya, cikgu!

 Ustazah Siti Khadijah Hussain

Semasa zaman saya, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Bukit Maluri adalah sekolah minority Melayu, dengan jumlah pelajar Islam tingkatan 1 hingga 5 dalam lingkungan 200 orang sahaja.  Guru agama yang bertugas mengajar subjek agama juga cuma seorang, iaitu Ustazah Siti Khadijah.

Pengorbanan beliau cukup besar.

Ketika guru-guru sesi pagi yang lain sudah pulang ke rumah, beliau masih terpaksa tinggal untuk mengajar pelajar tingkatan 1 pula pada sesi petang.

Memori yang paling saya tidak boleh lupakan bersama beliau ialah, apabila dipilih untuk mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan agama peringkat zon, semenjak di tingkatan 2 hingga tamat sekolah. Jika diikutkan, semasa saya di tahun akhir persekolahan, sudah ada pelajar lain yang jauh lebih layak untuk menjadi wakil bagi pertandingan itu.

Namun, Ustazah kasihankan saya.

Beliau mahu memberi sesuatu kepada saya sebelum meninggalkan sekolah selama-lamanya. Lantas dipilihnya saya menjadi wakil untuk kali yang terakhir. Saya cuma mendapat tempat ketiga di peringkat zon itu. Jika pelajar ‘junior’ saya yang mewakili, ada kemungkinan besar beliau boleh menjadi johan peringkat zon tersebut.

Sungguh terharu!

Setiap kali ada masalah atau luahan hati, ke bilik agama itulah  tumpuan kami. Memandang wajah Ustazah yang sejuk itu sahaja sudah cukup mendamaikan jiwa, apatah lagi apabila mendengar mutiara katanya.

Terasa besar sekali kasih sayang Ustazah yang sudah menjadi ‘ibu kedua’ pelajar-pelajar Islam SMKTBM.
Jika Ustazah sedang membaca coretan ini, terima kasih atas segalanya, Ustazah!

“Ya, Allah! Limpahkanlah hidayahMu kepada guru-guru yang telah Kau hantar untuk mendidikku. Tanpa mereka, siapalah aku! Amin….”

Wallahu a’lam

Wednesday 26 October 2011

Setia dan Poligami: Nota buat Para Suami

Posted by mom at 01:40 0 comments
"Awak ni!Tak faham hukumkah? Dalam Quran dah tertulis, lelaki boleh kahwin 4 dalam satu-satu masa. Apa kejadahnya awak nak pertikaikan?" hujah suami.

Si isteri hanya tertunduk sepi, melayan hati, antara patuh pada hukum, atau menipu diri sendiri....ah, sukar sekali!

Tahajjud Cinta
Sebenarnya saya masih dalam mood Tahajjud Cinta yang baru sahaja menamatkan sirinya pada Jumaat lepas. Pandai betul Eman Manan melakonkan wataknya sebagai Ustaz Sauki. Terasa seperti mahu masuk ke dalam drama itu, dan membantu Umairah menamatkan saja jiwa lelaki sepertinya! Apakan daya, ia hanya lakonan.

Tidak mengapalah. Tak guna hendak bercakap tentang orang gila seperti Ustaz Sauki itu (kalau layak dipanggil ustaz). Yang malangnya, bersepah-sepah pula kewujudan lelaki seperti itu di dunia ini!

Bukan hukum sahaja

Manusia adalah makhluk yang dijadikan oleh Allah SWT dengan pelbagai juzuk; fizikal, emosi, akal dan spiritual. Untuk menjadi sempurna sebagai manusia, keseluruhan juzuk tersebut perlu disuap dengan makanan yang betul. Fizikal dengan makanan, akal dengan ilmu, spiritual dengan mendampingi Tuhan, dan emosi diisi pula dengan kasih sayang.

Mari kita fokuskan kepada makanan emosi, iaitu kasih sayang sesama makhluk, terutamanya dalam hubungan suami isteri.

Rumahtangga

Perkahwinan bukan hanya untuk memenuhi keperluan syahwat semata-mata. Kelangsungan hubungan antara suami isteri menjadi lebih erat apabila ada tautan emosi antara mereka. Hubungan mesra, gurau senda, saling berbincang dan seumpamanya merupakan  sebahagian daripada rencah yang membahagiakan rumahtangga.

Suami itu manusia.

Isteri juga begitu.

Sewajarnya apabila berlaku badai dalam hubungan, seperti cinta kedua di belakang isteri, tidak wajar sama sekali untuk suami menggunakan hujah hukum untuk melepaskan diri.

Ya, benar. Islam membenarkan seorang suami memiliki lebih dari seorang isteri dalam satu masa. Ia adalah hukum yang diharuskan. Bukan sewenang-wenangnya suami boleh beristeri lagi hanya kerana hujah itu.

Tulisan ini tidak berhasrat mahu membicarakan soal hukum. Umum tahu mengenainya. Tujuan utama nota ini adalah untuk mengajak para suami berfikir dan cuba berada di dalam kasut isteri, apabila membicarakan soal berat seperti ini.

Bagaimana kalau...

Cuba bayangkan, kalau tiba-tiba isteri anda mengatakan dia ada hati pada lelaki lain, apakah yang anda akan lakukan? Jika dan hanya jika, anda seorang manusia yang normal, tentu sekali anda akan mengamuk. Apatah lagi jika waktu itu anda sudah terlupa iman itu apa, boleh saja anda menghadiahkan cap lima di pipi isteri tercinta.

"Apa kurangnya abang?! Sampai terpaksa suka pada lelaki lain?" tanya seorang suami kecewa.

"Tak ada yang kurang, bang. Hanya saya kalah pada nafsu sendiri," jawab isteri dengan linangan air mata kesal.

Biasanya ayat marah-marah di atas dituturkan oleh isteri, tetapi apabila terkena batang hidung suami, barulah dia mengerti. Isterinya yang normal itu, ada perasaan cemburu dan marah, seperti juga dirinya.

Wanita juga sama

Menurut Dr.Harlina Siraj, kajian menunjukkan setiap mamalia termasuk manusia, sentiasa mempunyai keinginan untuk mempunyai lebih dari seorang teman. Cuma, untuk seorang isteri perkara sebegitu adalah mustahil demi menjaga nasab keturunan keluarga.

Apa yang mahu ditekankan ialah, jika suami suka pada wanita lain yang bukan isterinya, isteri juga ada kebarangkalian untuk mempunyai rasa yang sama pada lelaki lain. Bagi isteri yang kurang iman, peduli apa dia tentang hukum. Hanya isteri yang sedar dia ada Tuhan sahaja akan mengawal dirinya dari perasaan dan tindakan yang melangkau hukum agama.

Suami mahu isteri faham akan diri dan nafsunya. Sewajarnya suami juga harus begitu. Janganlah mengambil kesempatan dengan hukum Tuhan untuk memenuhi gelora jiwa sendiri. Fahami emosi dan perasaan isteri yang telah menyerahkan jiwa dan hatinya untuk suami, setelah Tuhan dan Rasul. Jika suami mahu isteri setia, sewajarnya suami juga patut melakukan perkara yang sama.


Oh ya, jangan salah faham pula. Nota ini sama sekali tidak menghentam poligami. Ramai di kalangan sahabat-sahabat saya yang bahagia dalam institusi poligami.

Sekadar ingin memberi pencerahan kepada para suami, kenapa isteri terluka jika suami mencari lagi.

Wallahu a'lam.

Thursday 20 October 2011

Redha: Nota buat isteri

Posted by mom at 21:31 0 comments
“Kalau sekiranya Kami menurunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya berfikir”
Al-Hasyr:21

Kita hidup dengan memegang pelbagai peranan. Bermula dengan kehidupan sebagai anak, pelajar, isteri, ibu dan sebagainya. Pada pandangan peribadi, ayat di atas menjelaskan betapa susahnya menjadi manusia! Berat sekali.

Fokus pada isteri

“Salam..abg. Ina tak berapa sihat ni..tak tahulah kenapa,” sms seorang isteri kepada suaminya.

“Alah, mengada-ngada pula. Sakit sikit pun nak kecoh” rungut si suami apabila membaca mesej itu. Tidak sudi dia membalas mesej si isteri. Besar betul nilai 15 sen untuk dihabiskan.

Bagaimana kalau sms itu dari wanita lain?

“Ya Allah! Kesiannya! Awak ok? Awak jaga diri ya, risau saya mendengarnya. Kalau nak apa-apa bantuan beritahu ya,” balas si suami orang itu. Kasih benar dia pada temannya.

Keliru. Apakah nilai isteri di sisinya?

Kebiasaannya begitulah.

Seperti kata Ustaz Pahrol, di mata lelaki yang herot, semua wanita nampak cantik dan baik, selagimana belum menjadi isterinya!

Setelah bertahun-tahun melayari bahtera rumahtangga, sering sahaja berlaku keadaan sedemikian. Suami ‘take for granted’ pada kewujudan isteri. Endah tak endah sahaja. Selagi isteri itu boleh membuka mata, sihatlah isteri itu pada pandangannya!

Kita sebagai isteri, bagaimana? Mahu membalas dendam? Lari dari rumah? Atau apa?

Kalau mahu bertindak reaktif, balas sahaja sikap suami itu dengan sikap yang sama. Buat dek sahaja dalam melayannya.

Mahu lebih ‘thrill’, maki hamun sahaja dia. Katakan kita penat itu dan ini, dia pula tidak peduli.

Nilai manusia pada kehambaannya

Islam yang murni tidak mengajar begitu. Suami tidak endah, biarkan saja dia. Kalau setelah ditegur keadaan masih sama, apa lagi daya yang ada…redha sahajalah. Sekiranya dia gagal menjadi suami yang betul, biarlah, itu urusan dia dengan Tuhannya.

Selagi suami itu tidak culas dalam melaksanakan hak isteri ke atasnya, bersabar sajalah di atas kelemahannya yang lain. Dia juga manusia yang serba kurang seperti kita. Tidak adil untuk mengharapkan kesempurnaan dari makhluk ciptaan Tuhan itu. Terimalah dia seadanya.

Akhir kalam

Sukar sekali untuk hidup dengan peranan tertentu. Peranan yang pelbagai itu dengan mudah sekali mengundang tekanan ke atas jiwa dan emosi. Susah sungguh menjadi anak, isteri, ibu dan sebagainya. Boleh gila jadinya!

Untuk memudahkan kehidupan, lupakan sahaja peranan-peranan itu. Hiduplah sebagai hamba Allah dengan penuh tulus dan pasrah. Kita semua sedang meniti hari untuk kembali kepadaNya. Namun, dalam perjalanan itu, Allah datangkan pelbagai peranan tersebut sebagai anugerah, dan juga sebagai ujian untuk melihat adakah kita termasuk dalam golongan yang benar-benar mahukan redhaNya. Jika mahu dikasihiNya, terimalah segalanya, ia adalah sikap yang selayaknya bagi seorang hamba.

Perbaiki diri

Nota ini adalah untuk saya. Jika sahabat yang membaca perasan, kebelakangan ini, jarang sekali saya mahu berbicara tentang Tuhan. Kenapa agaknya?
Semenjak mula sibuk dengan urusan kanak-kanak, fizikal dan mental sering sahaja keletihan. Terasa suram sekali hubungan dengan Tuhan apabila disibukkan dengan hubungan manusia. Pernah juga terasa mahu mengeluh, tiba-tiba terdengar suara,

“Allah itu Tuhan yang Maha Baik dan tidak mementingkan diri. Jagalah hubungan dengan manusia tetapi jangan pula kamu melupakan Allah!” katanya.

Tenang hati mendengar teguran itu. Nasihat yang benar-benar menusuk!

Ayuh, sahabat! Kita jadi hamba Allah dengan sebenar-benarnya..

“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku, hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam!”

Wallahu a’lam

Monday 17 October 2011

Susahnya mendidik anak!

Posted by mom at 02:57 0 comments
Keajaiban Tuhan di rumah sendiri
“Umar, Jah, Sarah! Mari turun sekejap. Ada benda ummi nak tunjuk ni.” saya memanggil anak-anak yang asyik menonton televisyen.

“Wah! Ikan apa yang ummi pegang tu?”tanya Khadijah.

“Ini namanya ikan pelaling. Cuba semua tengok, apa benda yang istimewa dengan ikan ni berbanding kita?”

“Kesian ikan!” jawab Sarah melihat saya mencucuk-cucuk perut ikan itu.

“Ikan ni dah mati, tapi kenapa dia tak tutup mata?”tanya Umar.
“Bagus, Umar! Tengok ya, macam mana agaknya Allah jadikan ikan ini? Dia tak ada kelopak mata, tapi tak pernah pula mata dia merah masa berenang dalam air. Umar, Jah, Sarah bernafas macam mana?" tanya saya lagi.
“Hidung!” jawab Umar dan Khadijah.
“Hidung tu salurannya saja. Yang buat kerja paru-paru kat sini,”jawab saya sambil mencucuk paru-paru Umar.
“Gelilah Ummi!” jerit Umar.
“Hebatnya Allah! Ikan tak ada paru-paru macam kita. Dia bernafas guna insang ni, macam dalam Johan The Young Scientist tu,” jawab saya sambil menyiang ikan dan menunjukkan isi perut ikan kepada mereka.
“Kesian ikan, ikan sakit,”balas Sarah yang tidak puas hati dengan tindakan saya ‘mencederakan’ ikan itu.

Secara peribadi, saya merasakan memperkenalkan anak-anak kepada Pencipta mereka adalah tidak sukar. Terlalu banyak ciptaanNya yang berada di sekelililng kita yang boleh dieksperimen bersama mereka. Sesekali, sengaja saya membiarkan nasi dan makanan yang basi beberapa hari, supaya mereka belajar ‘busuknya’ dunia, apabila membazir.
Tidak ada yang lebih menggembirakan bagi mana-mana manusia normal, selain dari melihat keagungan PenciptaNya yang berada di mana-mana sahaja.

Cabaran Utama
Namun, teori tetap teori. Sejujurnya, saya merasakan cabaran paling besar dalam mendidik anak-anak ialah pada menjadikan mereka mukmin yang beradab dengan akhlak yang mulia.

“Alah, kecil lagi! Itu pun hendak dibesar-besarkan,” kata sesetengah orang.

 Lupa agaknya pada pesan lama orang tua ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

Awal Ramadhan

“Eh, siapa yang makan makanan Imad ni?” terkejut saya melihat mangkuk makanan Imad yang sudah kosong.
“Abang Umar!” jawab Khadijah.

Saya merenung Umar yang sudah pucat.

“Umar lupa!” katanya membela diri.
“Tak apalah kalau lupa. Lain kali jangan buat lagi tau,”saya mengingatkan.

Puasa setahun sekali. Tentulah lupa. Kanak-kanak yang 40 tahun pun boleh lupa.

Esoknya kejadian yang sama berlaku. Umar terjumpa air kotak Milo di rumah neneknya, digoncang kotak itu dan terus meminumnya sehingga habis.

Sekali lagi, “Umar lupa la, ummi!”

Tentulah zalim sekiranya saya marah-marah hanya kerana dia terlupa. Apatah lagi pada usia sebegitu. Isunya bukanlah dia terlupa, atau termakan dan terminum. Isunya ialah BELAJAR MENGHORMATI HAK ORANG LAIN DAN TIDAK MENGAMBIL HAK ITU TANPA IZIN.

Ia adalah akhlak yang asas bagi setiap manusia. Kejayaan untuk belajar menghormati hak orang itu akan menyelamatkan manusia dari banyak kemungkaran lain apabila  dia hidup sendirian dewasa kelak.

Selamat dari berbohong.

Selamat dari mencuri.

Selamat dari pornografi dan zina.

Sudah tentulah segala-galanya bermula di rumah.
Bak kata Ustaz Badli, “Akhlak adalah ilmu menyontoh. Ia bukanlah ilmu teori yang boleh dipelajari di sekolah. Akhlak adalah ilmu MENIRU bagi kanak-kanak. Dia buat apa yang dia selalu nampak. Maka, jagalah rumah anda,”

Di rumah
“Umar, kenapa jerit-jerit dekat adik tu?!” jerit saya.

Terlupa yang sayalah yang sering bersuara bagaikan ibu yang tertelan mikrofon.

“Jangan pukul adik!” tegur saya.

Walhal saya selalu saja hilang kawalan dan ‘naik tangan’ juga bila mereka nakal.

Tidak boleh pukulkah? Tentu sahaja boleh. Asalkan pukulan itu sesuai dan bertujuan untuk mendidik. Bukan sebab geram bagai hendak membunuh anak sendiri.

Malu juga dengan suami. Rasanya dalam setahun boleh dibilang dengan sebelah tangan jumlah berapa kali beliau meninggikan suara dengan anak-anak. Menjentik pun tidak pernah. Syukur kerana dipilih menjadi isterinya.Saya banyak belajar membetulkan diri daripadanya sebelum layak membetulkan orang lain.Jika ada yang tidak kena dengan anak-anak, sewajarnya saya melihat dulu diri sendiri. Apakah akhlak dan tindakan saya sudah cukup mulia untuk mereka jadikan ikutan?


Televisyen

“Eh, tengah buat apa tu?” tanya saya pada Umar yang sedang  menulis.

“Padam ni, Umar salah tulis. Tak jumpa pemadam, jadi Umar guna air liur. Macam Hagemaru buat tu!”katanya.

Hagemaru, Chibi Maruko, Asarichan, Fukuchan, Muscleman, dan Doraemon adalah antara kartun di saluran Astro Ceria. Pengaruhnya bukan calang-calang. Habis semua yang ditunjuk mahu ditiru anak-anak.
Berbanding kartun dari barat, saya berpendapat kebanyakan kartun yang datang dari Jepun tidak banyak memberi manfaat kepada kanak-kanak dalam proses pendidikan mereka. Kurang ajar dengan orang tua, banyak berangan-angan, dan melakukan perkara-perkara pelik adalah antara intipati kartun-kartun tersebut.
Lihat sahaja cerita Detective Conan. Tentu saja semua pasti teruja melihat kebijaksanaan Conan menyelesaikan kes demi kes. Di sebaliknya? Anak-anak sekecil 4 tahun sudah faham modus operandi untuk membunuh!
Maka, apalah yang hendak dihairankan apabila kadar jenayah dalam negara meningkat? Kanak-kanak pun disuruh meniru yang bukan-bukan.


Penyelesaiannya tentulah bergantung kepada kita. Perlu mengawal apa yang ditonton dan mengajar mereka untuk lebih selektif mengenai bahan tontonan mereka.
Jika tidak boleh dikawal juga, ambillah alternative terakhir. Hentikan saja melanggan Astro!

?????
Seorang ayah semasa mudanya sangat suka menonton cerita-cerita porno dan suka ‘mencuci mata’ melihat wanita cantik. Tidaklah sampai mahu melakukan perkara yang lebih besar, hanya sekadar seronok menyaksikan.

Kesannya besar.

Kesemua anaknya mengalami masalah ketagihan kepada bahan-bahan pornografi dan yang lebih teruk lagi, ada yang terjebak dalam kancah perzinaan. Naudhubillah.

Ini adalah kisah benar.

Pandangan saya hanyalah pandangan layman. Saya tidak pernah membuat kajian atau statistic tentangnya.
Secara peribadi, saya merasakan Allah menunjukkan kemurkaanNya atas kemungkaran hambaNya melalui pelbagai cara. Ada yang dibalas secara direct. Ada juga yang dibalas dalam bentuk indirect seperti ini. Kemungkaran ayah dibalas dengan kemungkaran yang sama yang dilakukan oleh permata hati sendiri. Apakah ada balasan lain yang lebih teruk daripada itu?

Oleh itu, ibu-ibu dan bapa-bapa sekalian.
Kita perlu lebih berhati-hati dalam perlakuan dan tindakan. Jagalah diri dan hati kita dari melakukan kemungkaran, agar Allah juga akan menjaga dan memelihara zuriat keturunan kita dari perkara-perkara yang akan menghumban mereka ke neraka. Naudhubillah!

“Dan sesungguhnya aku khuatir terhadap ‘mawaliku’ sepeninggalanku, sedangkan isteriku adalah seorang yang mandul, maka anugerahilah aku dari sisi Engkau seorang putera,
“Yang akan mewarisi aku dan mewarisi sebahagian keluarga Ya’kub, dan jadikanlah dia, ya Tuhanku, seorang yang diredhai
(Maryam 5-6)

Mendidik anak tidaklah semudah membawa mereka ke dunia!

Wallahua’lam.

Saturday 15 October 2011

Sembang petang dengan anak-anak

Posted by mom at 23:22 0 comments
Ummi:      Ummi nak tanyalah, kenapa kita kena solat ye?
Khadijah: Sebab ia adalah adab dengan Allah!
Umar:      (tersenyum sambil makan karipap)
Ummi:      Ok, ummi tanya lagi ye. Kenapa semasa solat kita kena buat macam-macam? Mula- mula berdiri, lepas tu rukuk pula, sujud dan lain-lain. Tak boleh ke kalau kita berdiri atau duduk saja?
Umar :     Bila kita rukuk dan sujud, tanda kita hormat dan takut pada Allah yang Maha Hebat dan Maha Pandai tu!
Ummi :     Wah, pandainya anak-anak ni!

Mereka tersenyum gembira.

Umar dan Khadijah memang SANGAT pandai berkata-kata. Saya pun tidak pasti mereka mendapat kebolehan itu dari mana. Kadangkala pening juga mahu menjawab dan berdebat, selalunya saya biarkan sahaja mereka yang menang dek tidak larat melayan keramahan mereka itu.

“Memandangkan ummi tak benarkan Jah pergi kedai dengan Cik Ida, maka Jah layak untuk makan 2 biji coklat ni!” kata Khadijah beberapa minggu lepas.

Kanak-kanak berusia 4 tahun itu sudah pandai menggunakan kata ‘memandangkan’, ‘maka’ dan sebagainya. Menang pula dalam rundingan bersama umminya yang terkedu dengan kata-kata itu.

Tak mengapalah, asalkan mereka bercakap perkara yang baik-baik, ‘sabar ajelah!’

Friday 14 October 2011

Mudahnya berkata-kata...

Posted by mom at 02:07 0 comments
“Saya takut juga masa nak buat catwalk hari tu.  Maklum sajalah, disaksikan oleh media antarabangsa dan di pentas fesyen yang gah, tentu saja gentar. Alhamdulillah, saya bulatkan hati dan banyakkan membaca Al-fatihah. Syukur, semua terpegun dengan saya,” kata seorang model seksi yang terpilih untuk menggayakan gaun malam rekaan pereka fesyen terkenal.


“Allah itu Maha Hebat! Dia sentiasa bersama dengan kita. Marilah kita mencintaiNya!” kata seorang remaja perempuan yang tekun memberi peringatan di Facebook di hujung minggu, tetapi membiarkan sahaja ibu tuanya terkontang kanting menguruskan rumahtangga seorang diri.


"Marilah kita sama-sama membantu memenangkan agama Allah! Di mana bumi dipijak, di situ Islam tertegak!” kata seorang pemuda bersemangat, sedangkan dia sendiri bermain maksiat di belakang isterinya yang sah.


Dialog-dialog di atas bukanlah rekaan. Ia benar-benar kejadian. Mungkin juga, tanpa disedari, ia adalah cerita kita.


Agak-agaknya, di manakah letaknya nilai Allah dan Islam di dalam bait-bait kata di atas? Semudah itukah nilai Islam?


Hanya gerakkan bibir, betulkan makhraj, dan sebutlah nama Allah sebanyak-banyaknya…. selesai! Jadilah kita Muslim yang paling hebat hanya dengan kata-kata itu. Sama hebat dengan si kakaktua yang dilatih bercakap setiap hari!

Firman Allah yang Maha Agung, maksudnya lebih kurang begini, “Mengapakah kamu bercakap tentang perkara yang kamu tidak buat? Amat besar kebencian Allah apabila kamu bercakap tapi tidak berbuat,”. (Maaf, saya terlupa ayat dan Surah yang mana, mungkin sahabat sekalian boleh membantu).


Kehebatan seseorang dalam Islam tidaklah terletak pada keupayaannya menanam tebu di pinggir bibir.  Atau mungkin patut saya katakan dalam konteks dunia hari ini, pada keupayaannya bermain papan kekunci dan menaip tentang Tuhan sepanjang hari hingga mengabaikan tanggungjawab yang hakiki.


Di manakah letaknya nilai Islam yang sebenar?


Ustaz Fathi Yakan, dalam bukunya ‘Apa Erti Saya Menganut Islam?’menghuraikan dengan jelas tentang ciri-ciri orang yang benar-benar ikhlas menjadi Muslim:

Saya mestilah Muslim di sudut akidah.

Saya mestilah Muslim di sudut ibadah.

Saya mestilah Muslim di sudut akhlak.

Saya mestilah Muslim di sudut keluarga.

Saya mestilah dapat menguasai diri.

Saya mestilah yakin bahawa masa depan adalah untuk Islam.

Adakah kita sudah memenuhi syarat di atas? Hanya diri sendiri yang boleh menjawabnya.

Saya belumlah berani untuk memberi huraian tentang buku ini, kerana saya sendiri masih belum menghadamnya dalam kehidupan.  I strongly suggest that everyone should have this book, read and apply everything in this book through our daily lives, InsyaAllah.

Mudah-mudahan kita akan menjadi Muslim yang lebih baik, amin.
Wallahua’lam.

Wednesday 12 October 2011

Biarkan isterimu bersama Tuhannya!

Posted by mom at 02:32 0 comments
Daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah bersabda: “Wahai kaum perempuan, bersedekah dan banyakkan beristighfar kerana sesungguhnya aku mengetahui (bahawa) kamu golongan yang banyak sekali antara ahli neraka.”
Seorang perempuan yang bijak antara mereka berkata: “Ya Rasulullah mengapa kami menjadi golongan yang banyak sekali antara ahli neraka?” Baginda menjawab: “”(Kerana) kamu selalu mengutuk dan memaki-hamun dan kamu pula tidak mengenang budi suami dan (selain itu) aku tidak melihat golongan yang kurang akal dan kurang pula (amal) agamanya serta besar pula pengaruhnya kepada orang lelaki bijak bestari (sekalipun) – selain daripada kamu.”
Perempuan itu bertanya lagi katanya: “Ya Rasulullah apa maksudnya: (Kaum perempuan) kurang akal dan kurang (amal) agama itu?” Baginda menjawab: “Mengenai kurang akal, maka (ketika menjadi saksi): Saksi dua perempuan, (hanya) menyamai saksi seorang lelaki; maka inilah (tanda) kurang akal. Dan seseorang perempuan pula akan tinggal beberapa hari dengan tidak mengerjakan sembahyang (kerana kedatangan haid) dan dia pula ada kalanya tidak berpuasa pada Ramadan (kerana kedatangan haid juga) maka ini dan (tanda yang menunjukkan kaum perempuan) kurang amal agamanya (berbanding dengan kaum lelaki).”
(Hadis riwayat Bukhari dan Ibn Majah)

Wahai suami-suami sekalian! Kasihanilah isteri anda. Selamatkanlah dia dari neraka jika anda benar-benar menyayanginya.

Caranya?

Berikanlah sedikit masa dan kelapangan untuknya bersama dengan Tuhannya. Sesekali cuba ambil alih beban tugasnya yang membukit itu.

Kahwin sama-sama.

Cari duit sama-sama.

Jaga anak dan buat kerja rumah?

“Awak jagalah anak tu…abang tak pandai la,”kata sesetengah suami.

“Abang tak pandai basuh pinggan, pinggan tu berat!” alasan entah apa-apa.

Kalau para suami sekalian sudi-sudikan diri untuk membantu, barulah mereka akan faham betapa banyaknya kerja isteri. Tak habis-habis sampai akhirat!

Kerjanya biasa-biasa sahaja. Kemas rumah, basuh baju, sidai baju, lipat baju, memasak, selesaikan urusan anak-anak, leraikan pergaduhan anak-anak dan senarai itu berterusan.
Walaupun kerjanya nampak mudah, tapi ia masih memakan masa. Setelah selesai semuanya, isteri pun sudah hampir kehilangan nyawa, tiada daya lagi untuk bersunyi-sunyi dengan Tuhan.
Kalau suami merasakan mereka perlukan kekuatan rohani yang tinggi untuk memantapkan diri sebagai khalifah, isteri apa kurangnya. Perlu juga kekuatan itu untuk mendepani rutin sehari-hari yang menekan. Mendidik anak, mudahkah? Tentu sahaja tidak. Orang yang mendidik itu sendiri perlu stabil fizikal, mental dan emosinya untuk menghadapi kerenah anak-anak yang kadangkala di luar jangkaan itu.

“Alah yang, yang tahu kan…kalau abang pergi beribadah ni, yang pun dapat pahala sama macam abang. Kan untung tu! Pahala banyak, apalagi, masuk syurga lah!”hujah si suami.

Oh, malang sekali jika masih ada yang berfikiran begini. Beribadah hanya untuk mendapat pahala? Itu mentality kanak-kanak sekolah rendah. Apakah jika tidak dijanjikan pahala dan syurga, maka kita tidak mahu melakukan ibadah? Pahala yang diberi adalah ganjaran dari Allah yang Maha Pemurah.

Tujuan ibadah itu sendiri sangat besar.

Ibadah, terutamanya solat, sangat berkesan membentuk hati dan perilaku sekiranya roh solat itu dapat dirasai. Terasa kehebatannya menjalar di setiap saraf dan gerak nadi. Tidak ada yang lebih membahagiakan bagi mana-mana manusia selain daripada kesempatan bercakap dan mengadu pada Tuhannya. Solat yang berkesan akan membentuk sangka baik yang tinggi pada Tuhan.

Namun demikian, ada sesetengah isteri terpaksa bersolat dengan kepayahan. Mampu khusyukkah jika terpaksa menahan kepala yang senget kerana telekung dipijak anak? Boleh tenangkah jika anak-anak saling bergusti di sebelah?

Para suami sekalian,
Letakkan diri anda di tempat isteri, fahami dan empati kepenatannya. Biarkan dia bersama Tuhannya tanpa gangguan. InsyaAllah anda sendiri akan teruja dengan transformasi baik isteri hasil dari solat dan ibadahnya yang berkesan itu. Dia akan lebih cemerlang melayan keperluan anda dan anak-anak, insyaAllah!

Wallahu a’lam.   

Sunday 9 October 2011

Oh, ibu bapa!

Posted by mom at 18:07 0 comments
"Ok, semua! Hari ini cikgu nak cerita pasal Allah, Tuhan kita!" kata saya pada Jumaat lepas.

"Cikgu, Tuhan tu apa?" tanya seorang pelajar.

"Allah tu apa cikgu?" tanya pelajar yang lain.

"Tak pernah dengar tentang Allahkah?" tanya saya kebingungan.

Diam.

"Hantu?" tanya saya lagi.

Terus keadaan menjadi hingar bingar. Semua ada kisah hantu masing-masing yang mahu diceritakan.

Apabila ibu bapa mengatakan tidak sempat untuk mengajar anak membaca, menulis atau apa saja, saya masih boleh menerima. Namun sekiranya ada di antara mereka yang tidak ada masa untuk memperkenalkan anak kepada Pencipta mereka, bagi saya ia adalah satu kezaliman! Penderaan fizikal terhadap anak adalah satu kejahatan. Hakikatnya penderaan spiritual ini juga, tidak kurang zalimnya.

Allah adalah segala-galanya dalam kehidupan manusia. Memilih untuk tidak memberitahu anak-anak tentangNya adalah kesilapan awal kebanyakan ibu bapa.

Mengapa silap?

Cerita biasa kebanyakan kita

"Man, dah solatkah belum?" tanya seorang emak sambil menonton drama.

"Err...belum mak. sekejap lagi Man solat!" jawab Man.

"Ha, jangan lupa pula! Kalau tak nanti masuk neraka!," jawab emak yang bijaksana.

Kenapa agaknya Man liat mahu bersolat? Sejujurnya, dia sendiri tidak tahu apa yang mahu disembahnya.

Mari betulkan diri

Kita menyuruh anak bersolat, puasa, berdoa dalam setiap keadaan, dan sebagainya...

Hakikatnya, anak itu berbuat kerana apa? Siapakah yang disembah semasa mereka bersolat itu? Berdoa sepanjang masa, untuk siapa sebenarnya doa itu dipanjatkan?

Kita marah-marah apabila anak tidak mahu bersolat. Tetapi kita tidak pula mahu menerangkan rasional di sebalik solat dan amalan harian yang merekan lakukan sehari-hari. Adilkah?

"Ah....anak itu masih kecil. Fahamkah dia tentang Tuhan kalau diceritakan? Tunggulah besar sikit!" logik ibu bapa.

Kebanyakan pelajar saya yang berusia 4 ke 6 tahun itu, semuanya tahu tentang hantu. Dari manakah mereka mendapat semua itu kalau bukan dari persekitaran rumah?

Apabila ibu bapa mampu mewujudkan perasaan takut kepada hantu yang entah betul atau tidaknya itu, sewajarnya juga mereka lebih patut menerangkan kepada anak-anak tentang hakikat kewujudan Tuhan yang menguasai segala-galanya. Anak itu lahir dalam keadaan fitrah. Rasa bertuhan dan ingin takut pada suatu kuasa yang Maha Besar itu sememangnya sudah dipakejkan bersama dalam jiwa mereka. Silapnya, kebanyakan kita mengajar anak untuk takut pada benda yang tidak betul. Bagaimana mereka mahu takut kepada Tuhan, sekiranya Tuhan itu tidak diperkenalkan?

Anak-anak adalah aset kita di akhirat kelak. Jika mereka tidak boleh membantu survival kita apabila berjumpa Tuhan, siapakah lagi yang boleh diharapkan?

Apakah mungkin, puncanya adalah kerana kita juga masih bermasalah dalam meyakini Tuhan?

Ayat klise, 'tepuk dada, biarkan iman berkata-kata!'

Wallahua'lam.

Saturday 8 October 2011

Tuhan...lagi!

Posted by mom at 11:56 0 comments
Jumaat lepas, saya sedang ke pasar bersama anak-anak, tiba-tiba…

“Akak, nak minta lima ringgit boleh? Nak buat tambang balik Serdang,” kata seorang remaja kepada saya.

Di matanya penuh cahaya pengharapan.

“Alamak, akak tak ada duit tukarlah dik,” jawab saya.

“Pergilah tukar dekat pasar tu!” cadangnya dengan penuh bijaksana.

Saya terpana.

Terus sahaja saya mengorek wang di dalam kereta, dan memberinya wang yang dipinta. Saya yakin dia tidak berbohong, kerana dia terus berlari ke perhentian bas setelah mendapat wang itu.

Sejujurnya saya berasa sedikit terkilan dengan sikap remaja itu. Bukanlah kerana dia meminta wang, tapi kerana kurang adabnya bila meminta pertolongan.

Tanpa salam, tanpa mukadimah, terus sahaja meminta apa yang dimahukan. Bila tidak diberi, pantas pula memberikan cadangan. Apa sahaja, asalkan dapat RM5 itu. Benar-benar terdesak keadaannya.

Ia adalah pengajaran untuk saya. Saya sentiasa yakin, walau apa pun yang berlaku di sekeliling kita, sentiasa ada maksud didikan di sebaliknya. Peristiwa bersama remaja itu benar-benar membuatkan saya termenung panjang.

Tuhan??

“Ya, Allah! Janganlah pisahkan cinta kami lagi, ya Allah! Kami tidak sanggup untuk berpisah lagi!” doa Kirana sambil memeluk Galang dengan penuh perasaan.

Kirana dan Galang merupakan dua watak utama dalam sinetron ‘Cinta Kirana’ di Astro Ria. Pening kepala saya dengan adegan itu.
Memakai baju tanpa lengan, sambil berpelukan dengan lelaki yang bukan suaminya, sampai hati pula dia meminta begitu kepada Tuhannya! Tidak sedarkah dia dengan siapa dia meminta itu?

Itulah kita.

Bersolat lima kali sehari. Dalam tempoh solat yang sekadar beberapa minit itu, berapa detik pula hati kita benar-benar bersama Tuhan?

“Allahuakbar!!”kita memulakan solat.

Tiba-tiba….

“Assalamualaikum warahmatullah….”salam penamat solat.

Apa di tengah-tengahnya?

Oh, macam-macam. Fikir anak, fikir suami, mengumpat bos, terbayang artis, teringat kekasih lama……tak habis-habis.
Tahu-tahu sahaja, solat selesai!

Di luar solat, jarang sekali kita memikirkan tentang Tuhan. Di dalam solat pun lebih kurang.

Jika begitu, bilakah masanya kita benar-benar menjadi hamba Allah itu?

“Ya Allah, maafkan hamba kerana tidak sempat berdoa lebih panjang. Sesungguhnya doa hamba adalah seperti semalam. Perkenankanlah wahai Tuhanku!” doa sesetengah orang.
Sungguh tak beradab.

Allah SWT yang Maha Hebat itu tidak hanya berperanan sebagai Maha Mengabulkan sahaja. Maha Penghitung, Maha Penghukum dan nama-namaNya yang lain jarang sekali dipandang oleh hamba-hambaNya yang sering sahaja lupa diri.

Namun, kerana Allah itu Tuhan yang Maha Baik, Dia tidak pernah membenci kita yang lupa ini. Diberi peluang, diberi maaf, dilimpahkan rezeki, diawasi dan dijaga keselamatan, walaupun jarang sekali kita mengingatiNya.

Tidak malukah, mengaku hamba Allah, tetapi tidak berasa dan tidak bertindak seperti hamba Tuhan itu?

Bak kata Prof Izi, renung-renungkan, dan selamat beramal!

Wallauhua’lam.

Wednesday 5 October 2011

Beradabkah kita dengan Tuhan?

Posted by mom at 19:36 0 comments
Seorang gadis sedang bersiap-siap untuk bertemu dengan buah hatinya. Si cinta hatinya itu mengajaknya makan bersama-sama di restoran mewah di tengah ibu kota.

“Alamak, dah mandi setengah jam tadi, tapi rasa macam belum cukup wangi ni. Mandi lagilah, nanti tak segar pula nak jumpa abang,”kata si gadis.

Dia pun bersiram dengan penuh semangat dan menghabiskan setengah botol sabunnya untuk memastikan dirinya benar-benar wangi untuk dihidu oleh kekasihnya itu. Selesai mandi, dicari pakaian yang terbaik, minyak wangi yang paling harum, dan sabar menanti kehadiran ‘abang’ menjemputnya.

Percintaan suci itu disempurnakan dengan ikatan perkahwinan dan setelah beberapa tahun, rumahtangga bahagia itu dilengkapi pula dengan 2 cahaya mata yang sempurna.

“Sayang, tadi  sayang goreng ikan kering, sambal goreng dengan sayur campur ya?” tanya ‘abang’ setelah pulang dari kerja. Belum sempat duduk pun, sudah terbau segala-galanya.
“Eh, pandailah abang, mana abang tahu?” pelik si ‘sayang’.
“Bau semuanya dekat sayang ni. Dari rambut, tangan,  baju, semua bau lauk!”jawab ‘abang’ jujur.
“Hehe, ala abang, sayang tak sempat nak tukar bajulah, abang tak kisah kan?” tanya ‘sayang’ dengan penuh manja.
“Tak kisah pun…”jawab suami tidak ikhlas.
Si ‘abang’ juga begitu. Setelah bertahun-tahun bersama, dirasakan segalanya sudah terlalu biasa, masing-masing sudah tidak bersungguh mengambil hati masing-masing dalam hubungan suci itu dan akhirnya mereka melalui episod rumahtangga yang sungguh hambar dan membosankan.

Bagaimana dengan Tuhan?

“Nur, maaflah kak nak tanya Nur sikit ni, boleh?” tanya saya pada Nur yang agak rapat dengan saya.
“Tanya apa, kak? Boleh je nak tanya apa pun,”jawabnya sambil tersenyum.

Saya memang agak selesa dengan Nur, orangnya sangat jujur dan berterus terang.

“Sensitive sikit soalan ni. Hm…kenapa setiap kali Nur bangun pagi untuk solat subuh, kak perasan Nur tidak memberus gigi dahulu?” segan juga bertanya, takut-takut yang empunya diri termalu sendiri.
“Oh, pasal tu. Nur sebenarnya mengantuk lagi setiap pagi. Jadi lepas solat Nur nak tidur semula. Kalau berus gigi, nanti segar pula, tak bolehlah nak sambung tidur,” jawabnya jujur.

Saya terdiam antara mahu menangis dan ketawa.

Ada apa dengan Tuhan?

‘Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat dengannya daripada urat lehernya sendiri’ (Qaf ayat 16)

Apabila kita berhubung dengan manusia, seboleh mungkin kita tidak mahu dia menghidu apa-apa yang tidak enak dengan kita, segalanya harus sempurna, wangi dan indah. Namun, setelah bertahun-tahun, hubungan itu tiada lagi indahnya, suam-suam kuku sahaja.

Cuba semak pula bagaimana kita bertingkah dengan Tuhan?

Kebersihan, pakaian, bau badan dan sebagainya, adakah  sudah selayaknya persediaan kita untuk bertemu dengan Raja segala Raja itu?

Sering saja kita mempersembahkan diri kepadaNya dengan pakaian solat yang dibasuh sebulan sekali, badan yang penuh daki dan mulut yang tidak bersugi. Sedangkan Allah menyatakan Dia lebih hampir dengan kita lebih dari urat leher sendiri!

Apakah mungkin kerana kita sudah bersolat lebih 20 tahun, maka segala-galanya sudah menjadi terlalu biasa sehingga tiada apa lagi yang istimewa dalam hubungan antara kita dan Tuhan? Naudhubillah, jika itu yang kita rasakan.

Kita memohon semuanya dari Allah Yang Maha Berkuasa itu, tetapi seringkali juga kita ‘take for granted’ akan kebaikan Allah terhadap kita.Alangkah lalainya hati, alangkah sombongnya diri...

Cara kita beradab dengan Allah menjelaskan bagaimana Allah itu di sisi kita. Dan bagaimana Dia di sisi kita, begitulah kita di sisiNya.

Coretan ini tidaklah berhasrat untuk merungkai bagaimana seharusnya kita beradab dengan Tuhan, kerana umum sudah pun tahu mengenainya. Semua manusia dibekalkan fitrah untuk mengenali dan menyayangi TuhanNya.
Mari kita sama-sama kembali kepada fitrah tersebut, dan memperbetulkan semula segala yang patut tentang hubungan cinta istimewa antara kita dan Tuhan yang Maha Agung itu.

Wallahua'lam

Sunday 2 October 2011

memaknakan hidup...

Posted by mom at 23:40 0 comments
“God! Use me, use me, use this life! I don’t know what the future holds for me but I know that there is a vision for my life that is greater than my imagination can hold. Use me, use me, what would You had me to do?”

Terjemahan ayat-ayat di atas adalah lebih kurang begini:

“Wahai Tuhanku, pergunakanlah aku di dalam kehidupan ini! Aku tidak tahu bagaimana nasibku di masa akan datang, tetapi aku yakin wahai Tuhanku, ada sesuatu yang besar untukku yang tidak boleh aku bayangkan. Pergunakanlah aku wahai Tuhan, apakah yang Kau mahu aku lakukan?”

Wah, hebatnya doa ini. Orang yang sudi meminta-minta begini kepada Tuhannya, menyerah diri secara total dan penuh, tentu sahaja bukan orang biasa.

Doa siapakah agaknya?

Jika jawapan anda, ia merupakan doa seorang ustaz atau ustazah, atau mungkin ilmuan agama, ternyata anda salah.

Bagaimana, mahu meneka lagi, atau menyerah diri?

Hm…tak apalah, saya berikan saja jawapannya. Ia adalah ‘doa’ Oprah Winfrey.

Oprah Winfrey yang mana? Yang terkenal di seluruh dunia itukah?

Ya. Oprah Winfrey yang itu.

Menurut ceritanya, ia adalah doanya kepada Tuhan setiap malam sebelum mula dikenali. Dengan bakat dan kebolehan yang ada pada dirinya, dia merasakan bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu untuk Tuhannya. ‘To please the God’ kata orang putih.

‘Doa’nya itu telah membawanya ke kaca televisyen, menjadi pengacara dan jadilah dia sebagaimana yang kita semua maklum hari ini, bergelar wanita yang paling berpengaruh di dunia.
Pesannya kepada semua, “Always keep your feet on the ground, even when you are wearing new shoes”.

Sememangnya dia benar-benar mengota apa yang dikata. Kejayaannya tidak melupakan dia kepada matlamat asal untuk berbakti kepada Tuhan dan bangsanya. Sejumlah wang yang besar diberikan kepada institusi gereja, membantu kempen Barrack Obama untuk menjadi orang kulit hitam pertama bergelar Presiden USA, menubuhkan sekolah di Afrika dan lain-lain lagi. Tidak pernah dia lupa diri.



Kita pula?

Bersiap-siap untuk keluar seawal 7.15 pagi. Menghantar anak ke taska, tadika atau sekolah kemudian terus berkejar ke pejabat sebelum mesin ‘punch card’ berbunyi jam 8. Pulang pada waktu petang, mengambil anak, pulang ke rumah dan meneruskan segala rutin biasa sebelum melelapkan mata setelah lewat malam. Begitulah sehari-hari.
Hujung minggu pula beriadah bersama keluarga tersayang, menonton wayang dan keluar makan-makan terutama apabila hujung bulan.

Rutin ini berterusan….dan lagi…dan lagi..dan lagi.

Di mana ruang dalam diari harian , mingguan atau bulanan, yang kita peruntukkan untuk berbuat sesuatu demi Tuhan tercinta?

Solat, puasa dan ibadah khusus yang lain (kecuali zakat), manfaatnya hanya khusus untuk diri sendiri. Cukupkah hayat ini hanya dihabiskan untuk itu?

Bayangkan pula sekiranya para sahabat Rasulullah dan tabiin berfikiran sedemikian, apakah mungkin kita akan merasai kemanisan hidup bersama Islam dan iman seperti sekarang?


Kesimpulan

Oprah Winfrey itu kafir. Tetapi dia yakin hidup ini bukan untuk diri sendiri sahaja. Perlu ada ruang yang besar untuk melakukan sesuatu demi apa yang diyakini, iaitu agama. Jika dia yang bukan Islam itu bersungguh-sungguh untuk memenangkan agamanya, kenapa tidak kita? Selama mana perlu berbangga dengan sejarah kegemilangan Islam sahaja, tidak teringinkah untuk berbuat sesuatu demi Islam di masa akan datang?

Ada orang memenangkan agama melalui pendidikan. Ada pula yang cenderung kepada politik, khidmat social dan sebagainya. Semuanya bergantung kepada kecenderungan dan kesedaran sendiri. Pilihlah apa saja, asalkan ia bermanfaat untuk ummah dan agama.

Secara peribadi, setakat kesempatan dan kekuatan hari ini, saya memilih untuk berbuat sesuatu demi agama melalui jalan penulisan. Walaupun tidaklah sebagus mana, tidak mengapa, saya ‘belasah’ sahaja. Soal ada yang membacanya atau tidak bukanlah urusan saya. Allah memberikan ilham, dan saya hanya menyampaikan. Mudah-mudahan usaha tidak seberapa ini sudi dipandang Tuhan, insyaAllah.

Mari berbuat sesuatu untuk Islam. Banyak sungguh ihsan dan budi Tuhan kepada kita, tidak terasakah ingin membalasnya?

Wallahua’lam.
 

WARIDAH LOTHPI Copyright 2009 Template Designed by Ikhwan Nain