Thursday 27 October 2011

Cikguku Sayang

Posted by mom at 22:46
Tiba-tiba terasa sentimental pula sejak kebelakangan ini. Terimbau kenangan lama di zaman muda-muda semasa masih bersekolah. Saya bukanlah termasuk dalam kelompok pelajar cemerlang, hanya biasa-biasa sahaja. Tidak pernah juga saya menimbulkan masalah disiplin.

Cuma satu sahaja masalah besar saya. Saya sungguh malas.

Ya, malas.

Jarang sekali saya membuat kerja sekolah atau ulangkaji di rumah. Dari usia 7 hingga 17 tahun, saya hanya menjawab soalan peperiksaan berdasarkan apa yang diajar guru di dalam kelas, dan juga ulangkaji saat akhir pada malam peperiksaan. Hanya itu.

Ya, saya tahu. Memang gila!

Namun begitu, ada beberapa orang guru yang masih tersimpan kemas dalam ingatan saya. Mereka adalah manusia yang berjaya menundukkan perangai malas yang bersarang itu. Tabik pada mereka!

 Miss Vijaya

“Siapa yang salah isi nama negara pada peta ni, hah!?” tanya Miss Vijaya, guru Bahasa Inggeris semasa dalam kelas 5 Merpati.

Saya baru sahaja berpindah ke Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Maluri pada ketika itu. Tiba-tiba dikejutkan pula dengan ujian bulanan pada minggu berikutnya. Subjek yang lain, tidaklah bermasalah kerana guru-gurunya masih boleh lagi bertolak ansur.

Tidak dengan Miss Vijaya.

Untuk ujian Bahasa Inggeris tersebut, kami diminta untuk mengisi nama-nama  negara pada peta Asia Tenggara. Allahu, jangankan nama negara, Asia Tenggara pun saya tidak pernah dengar. Sudahnya, ‘hentam sajalah’. Saya isikan tempat-tempat kosong dengan nama –nama negeri di Semenanjung  Malaysia!

Gerun juga hendak mengaku. Tak tahu apa yang mahu dijangka. Mujur ada 3 lagi pelajar yang dengan jujur dan ikhlas tampil membuat pengakuan. Tak mengapa, ada ‘geng’. Tidaklah malu seorang diri nanti.

Kami tampil ke hadapan kelas, dan tidak semena-mena, pipi kami  ditarik bergilir-gilir oleh Miss Vijaya sekuat hati. Aduh, nasib baik saya belum kenal sesiapa. Pengalaman ngeri itu tidaklah begitu menjatuhkan maruah diri. Namun pengajaran besarnya, jangan main-main dengan Miss Vijaya!

Tahun 6 berikutnya, saya mula serius dengan Bahasa Inggeris. Miss Vijaya adalah orang pertama yang mengesan kebolehan saya bercerita, lantas dia terus menghantar saya mewakili sekolah untuk pertandingan bercerita di PWTC pada tahun tersebut. Sebelumnya, beberapa kali juga beliau menyuruh saya membuat persembahan bercerita di hadapan perhimpunan pelajar. Saya dan sahabat baik saya, Suria, menggunakan ‘puppet’ sebagai tarikan dengan membawa cerita, ‘The Clever Kingfisher’.

Ah, indah sungguh memori itu.

Pada hari terakhir persekolahan tahun 6, semua pelajar menangis  atas sebab yang pelbagai.
Saya juga menangis. Namun alasannya  cuma satu; saya tidak akan bertemu lagi dengan Miss Vijaya.

If you are reading this, thank you for everything, Miss Vijaya!

Pn. Aw Soon Kiat
  
Semenjak dari sekolah rendah, saya tidak begitu menggemari subjek matematik. Tak tahulah kenapa. Mungkin kerana sikap kurang rajin untuk memeningkan kepala, maka saya lebih suka mengambil jalan mudah, tak perlu buat lagi matematik!

Keputusan UPSR, semua A kecuali matematik. Tingkatan 1 dan 2, matematik cuma ‘cukup makan’ sahaja.

Segala-galanya berubah semasa di tingkatan 3.

Terpaku saya semasa kali pertama guru matematik memasuki kelas 3 Anggerik ketika itu.

Di dalam hati, “Cantiknya cikgu ni!”

Bukan sahaja beliau cantik, malah pesonanya semasa mengajar cukup mengujakan sesiapa sahaja yang memandang. Seingat saya, beliau tidak pernah marah-marah. Kerja rumah yang diberinya sentiasa lebih dari 2 mukasurat, tetapi sedikit pun saya tidak pernah mengeluh.

Oh, benarlah, cinta itu buta!

Untuk pertama kali, saya mendapat A bagi subjek matematik dalam PMR. Tambah unik lagi, semasa menjawab soalan peperiksaan tersebut, saya seperti terdengar-dengar suara Pn. Aw memberikan penjelasan pada soalan-soalan yang sukar. Sungguh luar biasa.

Alhamdulillah, Pn. Aw Soon Kiat turut mengajar Matematik Moden semasa di tingkatan 4 dan 5. Keputusan peperiksaan masih sama seperti yang sebelumnya.

Jika Pn. Aw membaca coretan ini, terima kasih atas segalanya, cikgu!

 Ustazah Siti Khadijah Hussain

Semasa zaman saya, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Bukit Maluri adalah sekolah minority Melayu, dengan jumlah pelajar Islam tingkatan 1 hingga 5 dalam lingkungan 200 orang sahaja.  Guru agama yang bertugas mengajar subjek agama juga cuma seorang, iaitu Ustazah Siti Khadijah.

Pengorbanan beliau cukup besar.

Ketika guru-guru sesi pagi yang lain sudah pulang ke rumah, beliau masih terpaksa tinggal untuk mengajar pelajar tingkatan 1 pula pada sesi petang.

Memori yang paling saya tidak boleh lupakan bersama beliau ialah, apabila dipilih untuk mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan agama peringkat zon, semenjak di tingkatan 2 hingga tamat sekolah. Jika diikutkan, semasa saya di tahun akhir persekolahan, sudah ada pelajar lain yang jauh lebih layak untuk menjadi wakil bagi pertandingan itu.

Namun, Ustazah kasihankan saya.

Beliau mahu memberi sesuatu kepada saya sebelum meninggalkan sekolah selama-lamanya. Lantas dipilihnya saya menjadi wakil untuk kali yang terakhir. Saya cuma mendapat tempat ketiga di peringkat zon itu. Jika pelajar ‘junior’ saya yang mewakili, ada kemungkinan besar beliau boleh menjadi johan peringkat zon tersebut.

Sungguh terharu!

Setiap kali ada masalah atau luahan hati, ke bilik agama itulah  tumpuan kami. Memandang wajah Ustazah yang sejuk itu sahaja sudah cukup mendamaikan jiwa, apatah lagi apabila mendengar mutiara katanya.

Terasa besar sekali kasih sayang Ustazah yang sudah menjadi ‘ibu kedua’ pelajar-pelajar Islam SMKTBM.
Jika Ustazah sedang membaca coretan ini, terima kasih atas segalanya, Ustazah!

“Ya, Allah! Limpahkanlah hidayahMu kepada guru-guru yang telah Kau hantar untuk mendidikku. Tanpa mereka, siapalah aku! Amin….”

Wallahu a’lam

0 comments on "Cikguku Sayang"

Post a Comment

 

WARIDAH LOTHPI Copyright 2009 Template Designed by Ikhwan Nain