Wednesday 26 October 2011

Setia dan Poligami: Nota buat Para Suami

Posted by mom at 01:40
"Awak ni!Tak faham hukumkah? Dalam Quran dah tertulis, lelaki boleh kahwin 4 dalam satu-satu masa. Apa kejadahnya awak nak pertikaikan?" hujah suami.

Si isteri hanya tertunduk sepi, melayan hati, antara patuh pada hukum, atau menipu diri sendiri....ah, sukar sekali!

Tahajjud Cinta
Sebenarnya saya masih dalam mood Tahajjud Cinta yang baru sahaja menamatkan sirinya pada Jumaat lepas. Pandai betul Eman Manan melakonkan wataknya sebagai Ustaz Sauki. Terasa seperti mahu masuk ke dalam drama itu, dan membantu Umairah menamatkan saja jiwa lelaki sepertinya! Apakan daya, ia hanya lakonan.

Tidak mengapalah. Tak guna hendak bercakap tentang orang gila seperti Ustaz Sauki itu (kalau layak dipanggil ustaz). Yang malangnya, bersepah-sepah pula kewujudan lelaki seperti itu di dunia ini!

Bukan hukum sahaja

Manusia adalah makhluk yang dijadikan oleh Allah SWT dengan pelbagai juzuk; fizikal, emosi, akal dan spiritual. Untuk menjadi sempurna sebagai manusia, keseluruhan juzuk tersebut perlu disuap dengan makanan yang betul. Fizikal dengan makanan, akal dengan ilmu, spiritual dengan mendampingi Tuhan, dan emosi diisi pula dengan kasih sayang.

Mari kita fokuskan kepada makanan emosi, iaitu kasih sayang sesama makhluk, terutamanya dalam hubungan suami isteri.

Rumahtangga

Perkahwinan bukan hanya untuk memenuhi keperluan syahwat semata-mata. Kelangsungan hubungan antara suami isteri menjadi lebih erat apabila ada tautan emosi antara mereka. Hubungan mesra, gurau senda, saling berbincang dan seumpamanya merupakan  sebahagian daripada rencah yang membahagiakan rumahtangga.

Suami itu manusia.

Isteri juga begitu.

Sewajarnya apabila berlaku badai dalam hubungan, seperti cinta kedua di belakang isteri, tidak wajar sama sekali untuk suami menggunakan hujah hukum untuk melepaskan diri.

Ya, benar. Islam membenarkan seorang suami memiliki lebih dari seorang isteri dalam satu masa. Ia adalah hukum yang diharuskan. Bukan sewenang-wenangnya suami boleh beristeri lagi hanya kerana hujah itu.

Tulisan ini tidak berhasrat mahu membicarakan soal hukum. Umum tahu mengenainya. Tujuan utama nota ini adalah untuk mengajak para suami berfikir dan cuba berada di dalam kasut isteri, apabila membicarakan soal berat seperti ini.

Bagaimana kalau...

Cuba bayangkan, kalau tiba-tiba isteri anda mengatakan dia ada hati pada lelaki lain, apakah yang anda akan lakukan? Jika dan hanya jika, anda seorang manusia yang normal, tentu sekali anda akan mengamuk. Apatah lagi jika waktu itu anda sudah terlupa iman itu apa, boleh saja anda menghadiahkan cap lima di pipi isteri tercinta.

"Apa kurangnya abang?! Sampai terpaksa suka pada lelaki lain?" tanya seorang suami kecewa.

"Tak ada yang kurang, bang. Hanya saya kalah pada nafsu sendiri," jawab isteri dengan linangan air mata kesal.

Biasanya ayat marah-marah di atas dituturkan oleh isteri, tetapi apabila terkena batang hidung suami, barulah dia mengerti. Isterinya yang normal itu, ada perasaan cemburu dan marah, seperti juga dirinya.

Wanita juga sama

Menurut Dr.Harlina Siraj, kajian menunjukkan setiap mamalia termasuk manusia, sentiasa mempunyai keinginan untuk mempunyai lebih dari seorang teman. Cuma, untuk seorang isteri perkara sebegitu adalah mustahil demi menjaga nasab keturunan keluarga.

Apa yang mahu ditekankan ialah, jika suami suka pada wanita lain yang bukan isterinya, isteri juga ada kebarangkalian untuk mempunyai rasa yang sama pada lelaki lain. Bagi isteri yang kurang iman, peduli apa dia tentang hukum. Hanya isteri yang sedar dia ada Tuhan sahaja akan mengawal dirinya dari perasaan dan tindakan yang melangkau hukum agama.

Suami mahu isteri faham akan diri dan nafsunya. Sewajarnya suami juga harus begitu. Janganlah mengambil kesempatan dengan hukum Tuhan untuk memenuhi gelora jiwa sendiri. Fahami emosi dan perasaan isteri yang telah menyerahkan jiwa dan hatinya untuk suami, setelah Tuhan dan Rasul. Jika suami mahu isteri setia, sewajarnya suami juga patut melakukan perkara yang sama.


Oh ya, jangan salah faham pula. Nota ini sama sekali tidak menghentam poligami. Ramai di kalangan sahabat-sahabat saya yang bahagia dalam institusi poligami.

Sekadar ingin memberi pencerahan kepada para suami, kenapa isteri terluka jika suami mencari lagi.

Wallahu a'lam.

0 comments on "Setia dan Poligami: Nota buat Para Suami"

Post a Comment

 

WARIDAH LOTHPI Copyright 2009 Template Designed by Ikhwan Nain