Wednesday 5 October 2011

Beradabkah kita dengan Tuhan?

Posted by mom at 19:36
Seorang gadis sedang bersiap-siap untuk bertemu dengan buah hatinya. Si cinta hatinya itu mengajaknya makan bersama-sama di restoran mewah di tengah ibu kota.

“Alamak, dah mandi setengah jam tadi, tapi rasa macam belum cukup wangi ni. Mandi lagilah, nanti tak segar pula nak jumpa abang,”kata si gadis.

Dia pun bersiram dengan penuh semangat dan menghabiskan setengah botol sabunnya untuk memastikan dirinya benar-benar wangi untuk dihidu oleh kekasihnya itu. Selesai mandi, dicari pakaian yang terbaik, minyak wangi yang paling harum, dan sabar menanti kehadiran ‘abang’ menjemputnya.

Percintaan suci itu disempurnakan dengan ikatan perkahwinan dan setelah beberapa tahun, rumahtangga bahagia itu dilengkapi pula dengan 2 cahaya mata yang sempurna.

“Sayang, tadi  sayang goreng ikan kering, sambal goreng dengan sayur campur ya?” tanya ‘abang’ setelah pulang dari kerja. Belum sempat duduk pun, sudah terbau segala-galanya.
“Eh, pandailah abang, mana abang tahu?” pelik si ‘sayang’.
“Bau semuanya dekat sayang ni. Dari rambut, tangan,  baju, semua bau lauk!”jawab ‘abang’ jujur.
“Hehe, ala abang, sayang tak sempat nak tukar bajulah, abang tak kisah kan?” tanya ‘sayang’ dengan penuh manja.
“Tak kisah pun…”jawab suami tidak ikhlas.
Si ‘abang’ juga begitu. Setelah bertahun-tahun bersama, dirasakan segalanya sudah terlalu biasa, masing-masing sudah tidak bersungguh mengambil hati masing-masing dalam hubungan suci itu dan akhirnya mereka melalui episod rumahtangga yang sungguh hambar dan membosankan.

Bagaimana dengan Tuhan?

“Nur, maaflah kak nak tanya Nur sikit ni, boleh?” tanya saya pada Nur yang agak rapat dengan saya.
“Tanya apa, kak? Boleh je nak tanya apa pun,”jawabnya sambil tersenyum.

Saya memang agak selesa dengan Nur, orangnya sangat jujur dan berterus terang.

“Sensitive sikit soalan ni. Hm…kenapa setiap kali Nur bangun pagi untuk solat subuh, kak perasan Nur tidak memberus gigi dahulu?” segan juga bertanya, takut-takut yang empunya diri termalu sendiri.
“Oh, pasal tu. Nur sebenarnya mengantuk lagi setiap pagi. Jadi lepas solat Nur nak tidur semula. Kalau berus gigi, nanti segar pula, tak bolehlah nak sambung tidur,” jawabnya jujur.

Saya terdiam antara mahu menangis dan ketawa.

Ada apa dengan Tuhan?

‘Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat dengannya daripada urat lehernya sendiri’ (Qaf ayat 16)

Apabila kita berhubung dengan manusia, seboleh mungkin kita tidak mahu dia menghidu apa-apa yang tidak enak dengan kita, segalanya harus sempurna, wangi dan indah. Namun, setelah bertahun-tahun, hubungan itu tiada lagi indahnya, suam-suam kuku sahaja.

Cuba semak pula bagaimana kita bertingkah dengan Tuhan?

Kebersihan, pakaian, bau badan dan sebagainya, adakah  sudah selayaknya persediaan kita untuk bertemu dengan Raja segala Raja itu?

Sering saja kita mempersembahkan diri kepadaNya dengan pakaian solat yang dibasuh sebulan sekali, badan yang penuh daki dan mulut yang tidak bersugi. Sedangkan Allah menyatakan Dia lebih hampir dengan kita lebih dari urat leher sendiri!

Apakah mungkin kerana kita sudah bersolat lebih 20 tahun, maka segala-galanya sudah menjadi terlalu biasa sehingga tiada apa lagi yang istimewa dalam hubungan antara kita dan Tuhan? Naudhubillah, jika itu yang kita rasakan.

Kita memohon semuanya dari Allah Yang Maha Berkuasa itu, tetapi seringkali juga kita ‘take for granted’ akan kebaikan Allah terhadap kita.Alangkah lalainya hati, alangkah sombongnya diri...

Cara kita beradab dengan Allah menjelaskan bagaimana Allah itu di sisi kita. Dan bagaimana Dia di sisi kita, begitulah kita di sisiNya.

Coretan ini tidaklah berhasrat untuk merungkai bagaimana seharusnya kita beradab dengan Tuhan, kerana umum sudah pun tahu mengenainya. Semua manusia dibekalkan fitrah untuk mengenali dan menyayangi TuhanNya.
Mari kita sama-sama kembali kepada fitrah tersebut, dan memperbetulkan semula segala yang patut tentang hubungan cinta istimewa antara kita dan Tuhan yang Maha Agung itu.

Wallahua'lam

0 comments on "Beradabkah kita dengan Tuhan?"

Post a Comment

 

WARIDAH LOTHPI Copyright 2009 Template Designed by Ikhwan Nain