Thursday 20 October 2011

Redha: Nota buat isteri

Posted by mom at 21:31
“Kalau sekiranya Kami menurunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya berfikir”
Al-Hasyr:21

Kita hidup dengan memegang pelbagai peranan. Bermula dengan kehidupan sebagai anak, pelajar, isteri, ibu dan sebagainya. Pada pandangan peribadi, ayat di atas menjelaskan betapa susahnya menjadi manusia! Berat sekali.

Fokus pada isteri

“Salam..abg. Ina tak berapa sihat ni..tak tahulah kenapa,” sms seorang isteri kepada suaminya.

“Alah, mengada-ngada pula. Sakit sikit pun nak kecoh” rungut si suami apabila membaca mesej itu. Tidak sudi dia membalas mesej si isteri. Besar betul nilai 15 sen untuk dihabiskan.

Bagaimana kalau sms itu dari wanita lain?

“Ya Allah! Kesiannya! Awak ok? Awak jaga diri ya, risau saya mendengarnya. Kalau nak apa-apa bantuan beritahu ya,” balas si suami orang itu. Kasih benar dia pada temannya.

Keliru. Apakah nilai isteri di sisinya?

Kebiasaannya begitulah.

Seperti kata Ustaz Pahrol, di mata lelaki yang herot, semua wanita nampak cantik dan baik, selagimana belum menjadi isterinya!

Setelah bertahun-tahun melayari bahtera rumahtangga, sering sahaja berlaku keadaan sedemikian. Suami ‘take for granted’ pada kewujudan isteri. Endah tak endah sahaja. Selagi isteri itu boleh membuka mata, sihatlah isteri itu pada pandangannya!

Kita sebagai isteri, bagaimana? Mahu membalas dendam? Lari dari rumah? Atau apa?

Kalau mahu bertindak reaktif, balas sahaja sikap suami itu dengan sikap yang sama. Buat dek sahaja dalam melayannya.

Mahu lebih ‘thrill’, maki hamun sahaja dia. Katakan kita penat itu dan ini, dia pula tidak peduli.

Nilai manusia pada kehambaannya

Islam yang murni tidak mengajar begitu. Suami tidak endah, biarkan saja dia. Kalau setelah ditegur keadaan masih sama, apa lagi daya yang ada…redha sahajalah. Sekiranya dia gagal menjadi suami yang betul, biarlah, itu urusan dia dengan Tuhannya.

Selagi suami itu tidak culas dalam melaksanakan hak isteri ke atasnya, bersabar sajalah di atas kelemahannya yang lain. Dia juga manusia yang serba kurang seperti kita. Tidak adil untuk mengharapkan kesempurnaan dari makhluk ciptaan Tuhan itu. Terimalah dia seadanya.

Akhir kalam

Sukar sekali untuk hidup dengan peranan tertentu. Peranan yang pelbagai itu dengan mudah sekali mengundang tekanan ke atas jiwa dan emosi. Susah sungguh menjadi anak, isteri, ibu dan sebagainya. Boleh gila jadinya!

Untuk memudahkan kehidupan, lupakan sahaja peranan-peranan itu. Hiduplah sebagai hamba Allah dengan penuh tulus dan pasrah. Kita semua sedang meniti hari untuk kembali kepadaNya. Namun, dalam perjalanan itu, Allah datangkan pelbagai peranan tersebut sebagai anugerah, dan juga sebagai ujian untuk melihat adakah kita termasuk dalam golongan yang benar-benar mahukan redhaNya. Jika mahu dikasihiNya, terimalah segalanya, ia adalah sikap yang selayaknya bagi seorang hamba.

Perbaiki diri

Nota ini adalah untuk saya. Jika sahabat yang membaca perasan, kebelakangan ini, jarang sekali saya mahu berbicara tentang Tuhan. Kenapa agaknya?
Semenjak mula sibuk dengan urusan kanak-kanak, fizikal dan mental sering sahaja keletihan. Terasa suram sekali hubungan dengan Tuhan apabila disibukkan dengan hubungan manusia. Pernah juga terasa mahu mengeluh, tiba-tiba terdengar suara,

“Allah itu Tuhan yang Maha Baik dan tidak mementingkan diri. Jagalah hubungan dengan manusia tetapi jangan pula kamu melupakan Allah!” katanya.

Tenang hati mendengar teguran itu. Nasihat yang benar-benar menusuk!

Ayuh, sahabat! Kita jadi hamba Allah dengan sebenar-benarnya..

“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku, hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam!”

Wallahu a’lam

0 comments on "Redha: Nota buat isteri"

Post a Comment

 

WARIDAH LOTHPI Copyright 2009 Template Designed by Ikhwan Nain