Saturday 8 October 2011

Tuhan...lagi!

Posted by mom at 11:56
Jumaat lepas, saya sedang ke pasar bersama anak-anak, tiba-tiba…

“Akak, nak minta lima ringgit boleh? Nak buat tambang balik Serdang,” kata seorang remaja kepada saya.

Di matanya penuh cahaya pengharapan.

“Alamak, akak tak ada duit tukarlah dik,” jawab saya.

“Pergilah tukar dekat pasar tu!” cadangnya dengan penuh bijaksana.

Saya terpana.

Terus sahaja saya mengorek wang di dalam kereta, dan memberinya wang yang dipinta. Saya yakin dia tidak berbohong, kerana dia terus berlari ke perhentian bas setelah mendapat wang itu.

Sejujurnya saya berasa sedikit terkilan dengan sikap remaja itu. Bukanlah kerana dia meminta wang, tapi kerana kurang adabnya bila meminta pertolongan.

Tanpa salam, tanpa mukadimah, terus sahaja meminta apa yang dimahukan. Bila tidak diberi, pantas pula memberikan cadangan. Apa sahaja, asalkan dapat RM5 itu. Benar-benar terdesak keadaannya.

Ia adalah pengajaran untuk saya. Saya sentiasa yakin, walau apa pun yang berlaku di sekeliling kita, sentiasa ada maksud didikan di sebaliknya. Peristiwa bersama remaja itu benar-benar membuatkan saya termenung panjang.

Tuhan??

“Ya, Allah! Janganlah pisahkan cinta kami lagi, ya Allah! Kami tidak sanggup untuk berpisah lagi!” doa Kirana sambil memeluk Galang dengan penuh perasaan.

Kirana dan Galang merupakan dua watak utama dalam sinetron ‘Cinta Kirana’ di Astro Ria. Pening kepala saya dengan adegan itu.
Memakai baju tanpa lengan, sambil berpelukan dengan lelaki yang bukan suaminya, sampai hati pula dia meminta begitu kepada Tuhannya! Tidak sedarkah dia dengan siapa dia meminta itu?

Itulah kita.

Bersolat lima kali sehari. Dalam tempoh solat yang sekadar beberapa minit itu, berapa detik pula hati kita benar-benar bersama Tuhan?

“Allahuakbar!!”kita memulakan solat.

Tiba-tiba….

“Assalamualaikum warahmatullah….”salam penamat solat.

Apa di tengah-tengahnya?

Oh, macam-macam. Fikir anak, fikir suami, mengumpat bos, terbayang artis, teringat kekasih lama……tak habis-habis.
Tahu-tahu sahaja, solat selesai!

Di luar solat, jarang sekali kita memikirkan tentang Tuhan. Di dalam solat pun lebih kurang.

Jika begitu, bilakah masanya kita benar-benar menjadi hamba Allah itu?

“Ya Allah, maafkan hamba kerana tidak sempat berdoa lebih panjang. Sesungguhnya doa hamba adalah seperti semalam. Perkenankanlah wahai Tuhanku!” doa sesetengah orang.
Sungguh tak beradab.

Allah SWT yang Maha Hebat itu tidak hanya berperanan sebagai Maha Mengabulkan sahaja. Maha Penghitung, Maha Penghukum dan nama-namaNya yang lain jarang sekali dipandang oleh hamba-hambaNya yang sering sahaja lupa diri.

Namun, kerana Allah itu Tuhan yang Maha Baik, Dia tidak pernah membenci kita yang lupa ini. Diberi peluang, diberi maaf, dilimpahkan rezeki, diawasi dan dijaga keselamatan, walaupun jarang sekali kita mengingatiNya.

Tidak malukah, mengaku hamba Allah, tetapi tidak berasa dan tidak bertindak seperti hamba Tuhan itu?

Bak kata Prof Izi, renung-renungkan, dan selamat beramal!

Wallauhua’lam.

0 comments on "Tuhan...lagi!"

Post a Comment

 

WARIDAH LOTHPI Copyright 2009 Template Designed by Ikhwan Nain