Sunday 9 October 2011

Oh, ibu bapa!

Posted by mom at 18:07
"Ok, semua! Hari ini cikgu nak cerita pasal Allah, Tuhan kita!" kata saya pada Jumaat lepas.

"Cikgu, Tuhan tu apa?" tanya seorang pelajar.

"Allah tu apa cikgu?" tanya pelajar yang lain.

"Tak pernah dengar tentang Allahkah?" tanya saya kebingungan.

Diam.

"Hantu?" tanya saya lagi.

Terus keadaan menjadi hingar bingar. Semua ada kisah hantu masing-masing yang mahu diceritakan.

Apabila ibu bapa mengatakan tidak sempat untuk mengajar anak membaca, menulis atau apa saja, saya masih boleh menerima. Namun sekiranya ada di antara mereka yang tidak ada masa untuk memperkenalkan anak kepada Pencipta mereka, bagi saya ia adalah satu kezaliman! Penderaan fizikal terhadap anak adalah satu kejahatan. Hakikatnya penderaan spiritual ini juga, tidak kurang zalimnya.

Allah adalah segala-galanya dalam kehidupan manusia. Memilih untuk tidak memberitahu anak-anak tentangNya adalah kesilapan awal kebanyakan ibu bapa.

Mengapa silap?

Cerita biasa kebanyakan kita

"Man, dah solatkah belum?" tanya seorang emak sambil menonton drama.

"Err...belum mak. sekejap lagi Man solat!" jawab Man.

"Ha, jangan lupa pula! Kalau tak nanti masuk neraka!," jawab emak yang bijaksana.

Kenapa agaknya Man liat mahu bersolat? Sejujurnya, dia sendiri tidak tahu apa yang mahu disembahnya.

Mari betulkan diri

Kita menyuruh anak bersolat, puasa, berdoa dalam setiap keadaan, dan sebagainya...

Hakikatnya, anak itu berbuat kerana apa? Siapakah yang disembah semasa mereka bersolat itu? Berdoa sepanjang masa, untuk siapa sebenarnya doa itu dipanjatkan?

Kita marah-marah apabila anak tidak mahu bersolat. Tetapi kita tidak pula mahu menerangkan rasional di sebalik solat dan amalan harian yang merekan lakukan sehari-hari. Adilkah?

"Ah....anak itu masih kecil. Fahamkah dia tentang Tuhan kalau diceritakan? Tunggulah besar sikit!" logik ibu bapa.

Kebanyakan pelajar saya yang berusia 4 ke 6 tahun itu, semuanya tahu tentang hantu. Dari manakah mereka mendapat semua itu kalau bukan dari persekitaran rumah?

Apabila ibu bapa mampu mewujudkan perasaan takut kepada hantu yang entah betul atau tidaknya itu, sewajarnya juga mereka lebih patut menerangkan kepada anak-anak tentang hakikat kewujudan Tuhan yang menguasai segala-galanya. Anak itu lahir dalam keadaan fitrah. Rasa bertuhan dan ingin takut pada suatu kuasa yang Maha Besar itu sememangnya sudah dipakejkan bersama dalam jiwa mereka. Silapnya, kebanyakan kita mengajar anak untuk takut pada benda yang tidak betul. Bagaimana mereka mahu takut kepada Tuhan, sekiranya Tuhan itu tidak diperkenalkan?

Anak-anak adalah aset kita di akhirat kelak. Jika mereka tidak boleh membantu survival kita apabila berjumpa Tuhan, siapakah lagi yang boleh diharapkan?

Apakah mungkin, puncanya adalah kerana kita juga masih bermasalah dalam meyakini Tuhan?

Ayat klise, 'tepuk dada, biarkan iman berkata-kata!'

Wallahua'lam.

0 comments on "Oh, ibu bapa!"

Post a Comment

 

WARIDAH LOTHPI Copyright 2009 Template Designed by Ikhwan Nain