Monday 17 October 2011

Susahnya mendidik anak!

Posted by mom at 02:57
Keajaiban Tuhan di rumah sendiri
“Umar, Jah, Sarah! Mari turun sekejap. Ada benda ummi nak tunjuk ni.” saya memanggil anak-anak yang asyik menonton televisyen.

“Wah! Ikan apa yang ummi pegang tu?”tanya Khadijah.

“Ini namanya ikan pelaling. Cuba semua tengok, apa benda yang istimewa dengan ikan ni berbanding kita?”

“Kesian ikan!” jawab Sarah melihat saya mencucuk-cucuk perut ikan itu.

“Ikan ni dah mati, tapi kenapa dia tak tutup mata?”tanya Umar.
“Bagus, Umar! Tengok ya, macam mana agaknya Allah jadikan ikan ini? Dia tak ada kelopak mata, tapi tak pernah pula mata dia merah masa berenang dalam air. Umar, Jah, Sarah bernafas macam mana?" tanya saya lagi.
“Hidung!” jawab Umar dan Khadijah.
“Hidung tu salurannya saja. Yang buat kerja paru-paru kat sini,”jawab saya sambil mencucuk paru-paru Umar.
“Gelilah Ummi!” jerit Umar.
“Hebatnya Allah! Ikan tak ada paru-paru macam kita. Dia bernafas guna insang ni, macam dalam Johan The Young Scientist tu,” jawab saya sambil menyiang ikan dan menunjukkan isi perut ikan kepada mereka.
“Kesian ikan, ikan sakit,”balas Sarah yang tidak puas hati dengan tindakan saya ‘mencederakan’ ikan itu.

Secara peribadi, saya merasakan memperkenalkan anak-anak kepada Pencipta mereka adalah tidak sukar. Terlalu banyak ciptaanNya yang berada di sekelililng kita yang boleh dieksperimen bersama mereka. Sesekali, sengaja saya membiarkan nasi dan makanan yang basi beberapa hari, supaya mereka belajar ‘busuknya’ dunia, apabila membazir.
Tidak ada yang lebih menggembirakan bagi mana-mana manusia normal, selain dari melihat keagungan PenciptaNya yang berada di mana-mana sahaja.

Cabaran Utama
Namun, teori tetap teori. Sejujurnya, saya merasakan cabaran paling besar dalam mendidik anak-anak ialah pada menjadikan mereka mukmin yang beradab dengan akhlak yang mulia.

“Alah, kecil lagi! Itu pun hendak dibesar-besarkan,” kata sesetengah orang.

 Lupa agaknya pada pesan lama orang tua ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

Awal Ramadhan

“Eh, siapa yang makan makanan Imad ni?” terkejut saya melihat mangkuk makanan Imad yang sudah kosong.
“Abang Umar!” jawab Khadijah.

Saya merenung Umar yang sudah pucat.

“Umar lupa!” katanya membela diri.
“Tak apalah kalau lupa. Lain kali jangan buat lagi tau,”saya mengingatkan.

Puasa setahun sekali. Tentulah lupa. Kanak-kanak yang 40 tahun pun boleh lupa.

Esoknya kejadian yang sama berlaku. Umar terjumpa air kotak Milo di rumah neneknya, digoncang kotak itu dan terus meminumnya sehingga habis.

Sekali lagi, “Umar lupa la, ummi!”

Tentulah zalim sekiranya saya marah-marah hanya kerana dia terlupa. Apatah lagi pada usia sebegitu. Isunya bukanlah dia terlupa, atau termakan dan terminum. Isunya ialah BELAJAR MENGHORMATI HAK ORANG LAIN DAN TIDAK MENGAMBIL HAK ITU TANPA IZIN.

Ia adalah akhlak yang asas bagi setiap manusia. Kejayaan untuk belajar menghormati hak orang itu akan menyelamatkan manusia dari banyak kemungkaran lain apabila  dia hidup sendirian dewasa kelak.

Selamat dari berbohong.

Selamat dari mencuri.

Selamat dari pornografi dan zina.

Sudah tentulah segala-galanya bermula di rumah.
Bak kata Ustaz Badli, “Akhlak adalah ilmu menyontoh. Ia bukanlah ilmu teori yang boleh dipelajari di sekolah. Akhlak adalah ilmu MENIRU bagi kanak-kanak. Dia buat apa yang dia selalu nampak. Maka, jagalah rumah anda,”

Di rumah
“Umar, kenapa jerit-jerit dekat adik tu?!” jerit saya.

Terlupa yang sayalah yang sering bersuara bagaikan ibu yang tertelan mikrofon.

“Jangan pukul adik!” tegur saya.

Walhal saya selalu saja hilang kawalan dan ‘naik tangan’ juga bila mereka nakal.

Tidak boleh pukulkah? Tentu sahaja boleh. Asalkan pukulan itu sesuai dan bertujuan untuk mendidik. Bukan sebab geram bagai hendak membunuh anak sendiri.

Malu juga dengan suami. Rasanya dalam setahun boleh dibilang dengan sebelah tangan jumlah berapa kali beliau meninggikan suara dengan anak-anak. Menjentik pun tidak pernah. Syukur kerana dipilih menjadi isterinya.Saya banyak belajar membetulkan diri daripadanya sebelum layak membetulkan orang lain.Jika ada yang tidak kena dengan anak-anak, sewajarnya saya melihat dulu diri sendiri. Apakah akhlak dan tindakan saya sudah cukup mulia untuk mereka jadikan ikutan?


Televisyen

“Eh, tengah buat apa tu?” tanya saya pada Umar yang sedang  menulis.

“Padam ni, Umar salah tulis. Tak jumpa pemadam, jadi Umar guna air liur. Macam Hagemaru buat tu!”katanya.

Hagemaru, Chibi Maruko, Asarichan, Fukuchan, Muscleman, dan Doraemon adalah antara kartun di saluran Astro Ceria. Pengaruhnya bukan calang-calang. Habis semua yang ditunjuk mahu ditiru anak-anak.
Berbanding kartun dari barat, saya berpendapat kebanyakan kartun yang datang dari Jepun tidak banyak memberi manfaat kepada kanak-kanak dalam proses pendidikan mereka. Kurang ajar dengan orang tua, banyak berangan-angan, dan melakukan perkara-perkara pelik adalah antara intipati kartun-kartun tersebut.
Lihat sahaja cerita Detective Conan. Tentu saja semua pasti teruja melihat kebijaksanaan Conan menyelesaikan kes demi kes. Di sebaliknya? Anak-anak sekecil 4 tahun sudah faham modus operandi untuk membunuh!
Maka, apalah yang hendak dihairankan apabila kadar jenayah dalam negara meningkat? Kanak-kanak pun disuruh meniru yang bukan-bukan.


Penyelesaiannya tentulah bergantung kepada kita. Perlu mengawal apa yang ditonton dan mengajar mereka untuk lebih selektif mengenai bahan tontonan mereka.
Jika tidak boleh dikawal juga, ambillah alternative terakhir. Hentikan saja melanggan Astro!

?????
Seorang ayah semasa mudanya sangat suka menonton cerita-cerita porno dan suka ‘mencuci mata’ melihat wanita cantik. Tidaklah sampai mahu melakukan perkara yang lebih besar, hanya sekadar seronok menyaksikan.

Kesannya besar.

Kesemua anaknya mengalami masalah ketagihan kepada bahan-bahan pornografi dan yang lebih teruk lagi, ada yang terjebak dalam kancah perzinaan. Naudhubillah.

Ini adalah kisah benar.

Pandangan saya hanyalah pandangan layman. Saya tidak pernah membuat kajian atau statistic tentangnya.
Secara peribadi, saya merasakan Allah menunjukkan kemurkaanNya atas kemungkaran hambaNya melalui pelbagai cara. Ada yang dibalas secara direct. Ada juga yang dibalas dalam bentuk indirect seperti ini. Kemungkaran ayah dibalas dengan kemungkaran yang sama yang dilakukan oleh permata hati sendiri. Apakah ada balasan lain yang lebih teruk daripada itu?

Oleh itu, ibu-ibu dan bapa-bapa sekalian.
Kita perlu lebih berhati-hati dalam perlakuan dan tindakan. Jagalah diri dan hati kita dari melakukan kemungkaran, agar Allah juga akan menjaga dan memelihara zuriat keturunan kita dari perkara-perkara yang akan menghumban mereka ke neraka. Naudhubillah!

“Dan sesungguhnya aku khuatir terhadap ‘mawaliku’ sepeninggalanku, sedangkan isteriku adalah seorang yang mandul, maka anugerahilah aku dari sisi Engkau seorang putera,
“Yang akan mewarisi aku dan mewarisi sebahagian keluarga Ya’kub, dan jadikanlah dia, ya Tuhanku, seorang yang diredhai
(Maryam 5-6)

Mendidik anak tidaklah semudah membawa mereka ke dunia!

Wallahua’lam.

0 comments on "Susahnya mendidik anak!"

Post a Comment

 

WARIDAH LOTHPI Copyright 2009 Template Designed by Ikhwan Nain