Friday 14 October 2011

Mudahnya berkata-kata...

Posted by mom at 02:07
“Saya takut juga masa nak buat catwalk hari tu.  Maklum sajalah, disaksikan oleh media antarabangsa dan di pentas fesyen yang gah, tentu saja gentar. Alhamdulillah, saya bulatkan hati dan banyakkan membaca Al-fatihah. Syukur, semua terpegun dengan saya,” kata seorang model seksi yang terpilih untuk menggayakan gaun malam rekaan pereka fesyen terkenal.


“Allah itu Maha Hebat! Dia sentiasa bersama dengan kita. Marilah kita mencintaiNya!” kata seorang remaja perempuan yang tekun memberi peringatan di Facebook di hujung minggu, tetapi membiarkan sahaja ibu tuanya terkontang kanting menguruskan rumahtangga seorang diri.


"Marilah kita sama-sama membantu memenangkan agama Allah! Di mana bumi dipijak, di situ Islam tertegak!” kata seorang pemuda bersemangat, sedangkan dia sendiri bermain maksiat di belakang isterinya yang sah.


Dialog-dialog di atas bukanlah rekaan. Ia benar-benar kejadian. Mungkin juga, tanpa disedari, ia adalah cerita kita.


Agak-agaknya, di manakah letaknya nilai Allah dan Islam di dalam bait-bait kata di atas? Semudah itukah nilai Islam?


Hanya gerakkan bibir, betulkan makhraj, dan sebutlah nama Allah sebanyak-banyaknya…. selesai! Jadilah kita Muslim yang paling hebat hanya dengan kata-kata itu. Sama hebat dengan si kakaktua yang dilatih bercakap setiap hari!

Firman Allah yang Maha Agung, maksudnya lebih kurang begini, “Mengapakah kamu bercakap tentang perkara yang kamu tidak buat? Amat besar kebencian Allah apabila kamu bercakap tapi tidak berbuat,”. (Maaf, saya terlupa ayat dan Surah yang mana, mungkin sahabat sekalian boleh membantu).


Kehebatan seseorang dalam Islam tidaklah terletak pada keupayaannya menanam tebu di pinggir bibir.  Atau mungkin patut saya katakan dalam konteks dunia hari ini, pada keupayaannya bermain papan kekunci dan menaip tentang Tuhan sepanjang hari hingga mengabaikan tanggungjawab yang hakiki.


Di manakah letaknya nilai Islam yang sebenar?


Ustaz Fathi Yakan, dalam bukunya ‘Apa Erti Saya Menganut Islam?’menghuraikan dengan jelas tentang ciri-ciri orang yang benar-benar ikhlas menjadi Muslim:

Saya mestilah Muslim di sudut akidah.

Saya mestilah Muslim di sudut ibadah.

Saya mestilah Muslim di sudut akhlak.

Saya mestilah Muslim di sudut keluarga.

Saya mestilah dapat menguasai diri.

Saya mestilah yakin bahawa masa depan adalah untuk Islam.

Adakah kita sudah memenuhi syarat di atas? Hanya diri sendiri yang boleh menjawabnya.

Saya belumlah berani untuk memberi huraian tentang buku ini, kerana saya sendiri masih belum menghadamnya dalam kehidupan.  I strongly suggest that everyone should have this book, read and apply everything in this book through our daily lives, InsyaAllah.

Mudah-mudahan kita akan menjadi Muslim yang lebih baik, amin.
Wallahua’lam.

0 comments on "Mudahnya berkata-kata..."

Post a Comment

 

WARIDAH LOTHPI Copyright 2009 Template Designed by Ikhwan Nain