Tuesday 14 February 2012

Tawarnya lidah dan hati!

Posted by mom at 15:52
"Eh, kenapa betik ni terasa pedas?" pelik saya, sambil makan, sambil menyuap anak yang kecil.

Pelik juga. Kalau pedas, sudah tentu anak saya yang berumur setahun itu sudah menangis kepedasan, tetapi tidak pula.

Hari ini kejadian yang sama berlaku. Memasak sambal yang sangat biasa saya lakukan, sukatan garam dan gula juga sudah betul, tetapi sambal itu langsung tidak sedap. Tawar sahaja, tidak seperti selalu.

Apabila suami memakannya, katanya ok sahaja, macam biasa. Anak-anak dan adik pun memberi komen yang sama.

Kalau begitu, apa pula yang tidak kena? Semuanya ok, saya seorang sahaja yang tidak?
Semasa berkumur dan setiap kali minum, barulah saya perasan ada sesuatu yang tidak kena dengan LIDAH saya. Rupanya ia luka sedikit dan terkesan pada daerah lidah yang mengesan rasa masin dan manis.

Allahuakbar!

Untuk pertama kali setelah hidup lebih 31 tahun ini, barulah saya menghargai nikmat deria rasa yang Tuhan kurniakan. Betapa terseksanya hidup, dapat peluang untuk makan makanan yang lazat, tetapi langsung tidak memberikan sebarang kepuasan.

Panggillah Masterchef Ezany atau Wahidan sekalipun, belum tentu saya memuji masakan mereka dengan keadaan lidah seperti ini!

Ibrah

Solat sudah bertahun-tahun.

Al-Quran sudah khatam berkali-kali.

Puasa juga begitu.

Namun demikian, mengapakah diri sukar sekali merasakan keindahan cinta Tuhan Yang Maha Agung itu?

Tujuan ibadah adalah untuk menimbulkan rasa pengabdian, pengharapan dan 'rasa' lain yang selayaknya untuk seorang hamba. Mengapa 'rasa' itu masih tiada?

Salah ibadah-ibadah itukah?

Tentu sekali tidak.

"Di dalam diri setiap manusia ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah keseluruhan dirinya. Samalah juga, jika buruk daging itu, maka buruk pula keseluruhan dirinya. Daging itu ialah HATI"

Solat beribu rakaat, tidaklah memberi kesan apa-apa jika hati masih lagi hitam dan busuk dengan penyakit mazmumah yang bersarang.

Puasa setiap hari pun tidaklah bermakna, jika hati masih lagi terhibur dengan maksiat dan dosa.

Hati adalah deria yang bertanggunjawab untuk merasa kemanisan iman. Jika hati terasa tawar dengan ibadah dan pengabdian, sudah tentu ada yang tidak kena dengan hati itu, sama seperti lidah yang tawar dengan segala jenis makanan.

Lantaran itu, jagalah hati, jangan dikotori hati itu dengan suka-suka mencari penyakit yang hanya mengundang kemurkaan Tuhan.

Tuhan Murka, belum tentu dibalasNya dengan bala dan musibah.

Boleh jadi juga dengan ketidaktenteraman hati serta tidak terasa kemanisan dalam pengabdian kepadaNya.

Menggilap hati

Bagaimanakah caranya untuk membersihkan hati?

Banyak panduan yang diberikan oleh Rasulullah SAW dan para ulama bagi tujuan itu.
Antara petua mudah yang boleh diamalkan oleh manusia moden yang tidak cukup 24 jam pada hari ini ialah; konsisten dengan bacaan zikir Ma'thurat, sekurang-kurangnya sehari sekali sama ada selepas subuh atau asar.

Membacanya pula ada kaedahnya. Jangan dibaca sahaja tanpa memahami dan menghayati makna setiap bacaan tersebut. Kita bukanlah burung kakaktua yang hanya pandai mengajuk dan menurut tanpa berfikir.
Akal yang diberikan Tuhan, tentu sahaja perlu dioptimumkan sehabisnya untuk membantu sang hati menjadi lebih bersih dan bercahaya.

Dari pengalaman peribadi, zikir Ma'thurat yang diamalkan dengan penghayatan, benar-benar membantu diri menghadapi saat-saat sukar dalam hidup. Semenjak sudah tua dan sibuk ini, hati terasa semakin hitam dan liat untuk mengamalkannya semula.

Salah satu zikir kesukaan saya ialah yang bermaksud;
"Ya Tuhan! Bagi Mu segala puji, seagung kemuliaan wajahMu dan kebesaran kekuasaanMu"

Sepertimana yang pernah dikongsi oleh sahabat saya, zikir ini sangat 'besar' sehingga tidak cukup buku amalan untuk malaikat mencatat pahala bagi orang yang mengamalkannya. Dahulu semasa masih bujang dan kurang tanggungjawab, saya akan membaca Ma'thurat sambil melihat awan. Entah kenapa, ia memberi impak yang sangat besar kepada kecerdasan akal dan hati, keputusan peperiksaan saya ketika itu agak baik walaupun jarang sekali mengulangkaji.

InsyaAllah, mudah-mudahan berkat seruan kepada diri sendiri dan semua yang membaca tulisan ini, saya berharap untuk beroleh kekuatan dan bantuan Tuhan untuk kembali kepadaNya sepenuhnya. Amin!

0 comments on "Tawarnya lidah dan hati!"

Post a Comment

 

WARIDAH LOTHPI Copyright 2009 Template Designed by Ikhwan Nain