Tuesday 27 September 2011

Nota Buat Wanita

Posted by mom at 17:56
(Mohon kepada kakak-kakak  merangkap guru saya yang budiman, Ustazah Rohamiah Muda dan Ustazah Wan Zakiah untuk memeriksa jika ada kesilapan saya dalam menghuraikan ayat-ayat di bawah. Terima kasih)


10. Allah telah memperbuat suatu perumpamaan tentang orang-orang yang kafir, yaitu isteri Nuh dan isteri Luth, adalah keduanya itu di bawah pernaungan dua hamba dari hamba-hamba Kami, yang keduanya itu shalih;
Maka mengkhianatlah keduanya kepada kedua suaminya, maka tidaklah kedua suami itu dapat membela mereka dari Allah sedikit juapun, maka dikatakanlah kepada keduanya masuklah kedalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk.”

11. Dan Allah telah pula memperbuat suatu perumpamaan tentang orang·orang yang beriman, yaitu isteri F ir'aun, tatkala ia berkata ;" Y a Tuhanku! bangunkanlah kiranya untukku sebuah rumah di dalam syurga dan bebaskanlah daku daripada Fir'un dan perbuatannya dan bebaskanlah akan daku daripada kaum yang zhalim. ”

12. Dan Maryam puteri ’Imran yang membentengi kehormatannya, maka Kami tiupkanlah ke dalamnya ciptaan dari Roh kami dan diapun membenarkan kalimat-kalimat dari Tuhannya dan adalah Dia termasuk orang-orang yang ta ’at." (At-Tahrim:10-12)

Surah At-Tahrim ini bukanlah surah yang popular, ia tidaklah begitu dikenali sebagaimana Yassin, Waqiah dan lain-lain lagi. Bagi yang kurang membelek kitab, mungkin tidak sedar pun akan kewujudannya. Ia adalah surah ke 66 dalam susunan kitab Al-Quran, mempunyai 12 ayat dan sedikit sebanyak menceritakan tentang perihal rumahtangga Rasulullah SAW bersama isteri-isteri baginda, saranan untuk bertaubat dan bagaimana seorang muslim harus bersikap terhadap orang kafir.

Apa yang menarik perhatian saya ialah 3 ayat terakhir dari At-Tahrim ini. Kali pertama membacanya, rasa sebak dan syahdu begitu menyelubungi diri. Terasa betapa kasihnya Allah kepada hambanya yang bernama perempuan dan betapa Maha Adilnya Dia dalam membuat perhitungan.

Ia adalah kisah kehidupan isteri dan perawan yang perlu direnungkan.

Isteri tidak solehah dengan suami yang soleh.

Isteri solehah dengan suami zalim.

Perawan suci yang mempunyai anak.

Isteri

Tidak ada seorang manusia pun yang tidak mahu masuk syurga. Begitu jugalah kita yang bergelar isteri ini. Namun sering sahaja isteri tersalah makna dan langkah, menyangka suami itu segala-galanya sehingga terlupa akan Allah sebagai Tuhannya.

I pakai begini sebab suami I tu, suka sangat tengok perempuan seksi bila kami keluar bersama. Untuk pastikan dia tak berkalih pandang, I kenalah ‘pasang badan’ sedikit. Melayan kehendak suami kan dapat pahala,” kata seorang wanita berpangkat makcik kepada saya, dengan penuh semangat dan yakin.

Kasihan saya melihatnya. Memakai pakaian yang hanya menutup kulit, ketat, bertudung, tetapi mengundang mata-mata nakal untuk melihat segala-galanya yang ada pada tubuhnya. Semuanya dilakukan hanya untuk memenangi hati suami.

Kebiasaannya begitulah.

Isteri sentiasa mahu memberikan yang terbaik untuk suaminya. Kadangkala perkara yang membelakangkan hukum Tuhan pun sanggup dilakukan, asalkan suami itu sentiasa bersamanya, dan tidak terkalih pada wanita lain.

Anas bin Malik menyatakan Nabi Muhammad bersabda: “Seorang wanita yang apabila mengerjakan solat lima waktu, berpuasa wajib sebulan, memelihara kemaluannya serta taat kepada suaminya, maka pasti akan masuk syurga dari pintu mana sahaja yang dia kehendaki,” Riwayat Abu Na’im

Isteri sering mengambil hadis ini sekerat sahaja, iaitu di bahagian taat kepada suami. Tidak terpandang dia, bahawa yang taat itu hanya akan dikira apabila selesai tanggungjawabnya terhadap Tuhannya.

Cuba renungkan, di akhirat kelak, pada suami itukah si isteri akan melapor diri? Tentu sahaja tidak. Suami, isteri atau siapa pun, bertanggungjawab sepenuhnya terhadap segala amalannya semasa di dunia.
Mahu meminta syafaat suami? Oh, lupakan saja. Kerana pada hari itu segala sumpah setia cinta semasa hayat, tidaklah berguna, melainkan amal soleh sebagai bekalan.

Ya. Taat suami itu sememangnya tuntutan. Tetapi ketaatan itu bersyarat. Taatlah pada perkara yang mematuhi peraturan Tuhan. Sekiranya yang dipinta suami terang-terang tidak mengikut hukum, gunalah iman dan akal yang ada untuk membuat keputusan yang betul.  Jika benar menyayangi suami sepenuh jiwa, janganlah memilih untuk menghumbankan dia ke neraka, kerana dia yang akan menanggung kesalahan dan kemungkaran isteri di dunia.

Walau bagaimana hebat pun suami, seorang isteri sentiasa berstatus hamba Allah; dulu, kini dan selamanya.

Janda dan Perawan

8 tahun yang lalu, saya tidak pernah menyangka untuk bergelar isteri. Saya melihat diri saya tidak ada apa-apa untuk menjadi teman hidup kepada sesiapapun. Selalu saya membayangkan, hidup keseorangan di rumah orang tua-tua dan hanya menunggu masa untuk dijemput Tuhan. Juga berangan untuk berbakti kepada kedua emak dan abah dengan kesempatan yang ada.

Namun begitu, Allah, Tuhan saya itu, Dia Maha Mengetahui yang saya tidak mampu untuk hidup seorang diri. Saya bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang soleh dan mampu membimbing saya dalam kehidupan.

Saya kagum dengan janda dan perawan. Wanita yang dipilih Allah untuk hidup sendirian, bukan calang-calang orang. Melakukan segala-galanya , menanggung susah dan senang seorang diri, tentu sahaja  tidak mudah. Lebih hebat lagi apabila mereka mampu untuk taat sepenuhnya pada Allah dan boleh pula menjaga kehormatan diri.
Lihat sahaja kisah dalam ayat di atas. Allah mengangkat darjat Maryam setinggi-tingginya lantaran kemuliaan dan kekuatannya berdikari.  Maryam bukanlah isteri sesiapa, tetapi beliau cukup mulia di pandangan mata penduduk bumi dan langit.

Kesimpulan
Menjadi isteri sesiapa tidak menjamin kita ke syurga, dan begitu juga sebaliknya.

Yang dinilai Tuhan ialah kekuatan untuk menjaga diri dari perkara-perkara yang dilarangNya dan berupaya pula untuk patuh pada kalimah-kalimahNya.

Sesungguhnya keadilan Tuhan yang Maha Agung pada wanita, adalah bukti kasih sayangNya yang tidak terhingga.

‘Berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran’
Walllahua’lam.

0 comments on "Nota Buat Wanita"

Post a Comment

 

WARIDAH LOTHPI Copyright 2009 Template Designed by Ikhwan Nain