Thursday 29 September 2011

Suara siapa?

Posted by mom at 18:01
Surau Muslimat Kuittho
Jam 1800

Petang itu saya dan beberapa pelajar perempuan kelab Iqra’ berkumpul di surau blok B untuk sedikit pengisian. Lebih kurang 20 orang. Sudah menjadi kebiasaan kami untuk membaca ma’thurat berjemaah sebelum aktiviti perkongsian.

Tiba-tiba…

Allahu laila hailla huwal hayyuqayyum….(ayat kursi). Saya berhenti kerana terdengar suara beberapa orang lelaki yang turut membaca ma’thurat dari kejauhan.

“Ish, takkanlah ada muslimin di masjid petang-petang begini. Biasanya semua di padang,” saya bermonolog seorang diri. Jika benar pun suara itu datang dari masjid, hairan pula bagaimana bacaan mereka boleh serentak dan seirama dengan kami.

“Nur dengar tak tadi?” tanya saya pada seorang adik yang duduk di sebelah saya seusai bacaan ma’thurat.

“Dengar apa kak?” tanya Nur kehairanan.

“Tadi, kan ada suara lelaki baca ma’thurat sekali dengan kita?” saya dah mula menggigil.

“Tak ada dengar suara siapa pun. Tapi tadi saya perasan juga, akak nampak gelisah sedikit, tak macam
biasa,”kata Nur.

Saya terus terdiam.

Petunjuk Jodoh

“Macam mana ya, lia? Nak terima ke tak nak?”saya bertanya Lia, sahabat baik yang serumah dengan saya.
“ Kau buatlah solat istikharah. Mana tahu kalau-kalau dapat petunjuk,” kata Lia.
“Hm..ya lah. InsyaAllah malam ni aku buat,”

Malam itu adalah malam 10 akhir Ramadhan. Saya sangat buntu untuk menerima atau tidak risikan untuk berkahwin, memandangkan saya masih banyak perancangan untuk diri sendiri yang masih tertunda. Hajat di hati untuk menamatkan zaman bujang pada umur 29 tahun. Sebelumnya memang ada yang pernah bertanya, tapi hati memang bulat untuk tidak menerima. Entah kenapa kali ini tidak, terasa saya akan kesal seumur hidup jika tidak menerima lelaki ini.

“Ya Allah, berikanlah petunjukMu. Jika dia jodoh yang terbaik untuk dunia dan akhiratku, permudahkanlah, tetapkanlah hatiku untuk menerimanya,”

Sesudah solat saya terus tidur, mengharapkan doa saya dimakbulkan.

“Terimalah lelaki itu, insyaAllah dia akan memberi kamu kebahagiaan!” terdengar suara lelaki sambil diiringi bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

Wa, bangun Wa, makan,” kejut Lia. Sudah sahur rupanya.

Alhamdulillah, saya bertambah yakin dengan keputusan yang saya buat. Saya bersetuju menerima Lokman Hakim bin Ibrahim sebagai suami dan benar sekali kata suara dalam mimpi itu. Setelah 7 tahun berkahwin, dia benar-benar memberikan saya kebahagiaan.

Segala puji hanya untuk Allah.

Ceramah Eksklusif
Letihnya Allah sahaja yang tahu. Tidak sangka menjadi surirumah sepenuh masa sungguh memenatkan. Hairan bagaimana emak-emak dahulu boleh bertahan dengan rutin seharian. Mahu saja saya ‘sekolahkan’ sesiapa yang memandang ‘kerjaya’ surirumah sebagai ‘kerja low class’. Cuba dulu, baru tahu!

“Allah, kenapakah tidak terasa lazatnya ibadah kepadaMu? Apa yang kurang? Ilmu ada, pemahaman ada, tapi mengapa manis belum terasa?” monolog saya sendirian.

Memang sedih. Sewaktu bujang dahulu, terasa ada banyak masa dan kesempatan untuk memperbaiki diri sendiri. Setelah berkeluarga lain benar rasanya. Solat sekadarnya, baca Al-Quran 130km/j, semuanya terkejar-kejar. Tidak terasa kemanisan roh ibadat itu setelah berkeluarga. Di mana silapnya?

Berulang-ulang persoalan itu, hinggalah…

“Kamu nak tahu jawapannya?”terdengar suara di dalam kepala.
“Setiap kali kamu menjamah makanan, bagaimana kamu tahu makanan itu sedap atau tidak? Adakah perlu orang lain memberitahu kamu?”tanya suara itu.
“Kamu rasa sedapnya makanan dengan deria rasa pada lidah kamu, bukan? Jika ada yang tidak kena dengan deria itu, masih terasakah sedapnya makanan? "terasa seperti diprovokasi.
“Begitulah halnya dengan amal ibadah. Deria yang merasa lazatnya ibadah adalah hati di dalam diri kamu. Ilmu dan pemahaman membantu kamu untuk mengenali Allah, tetapi hati yang merasai kehebatan dan kekuasaanNya. Jagalah hati. Peliharalah ia dengan mengurangkan dosa kepada Tuhan dan makhluk.”demikian kata akhir suara itu.

Kisah-kisah di atas adalah benar, tiada lain melainkan benar belaka.Sebetulnya saya memang tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan apa yang saya dengar itu. Suara siapa? Dari mana datangnya? Cuma ibrah yang jelas daripadanya ialah, ia menjelaskan bahawa alam ghaib itu memang ada, apatah lagi kewujudan Allah SWT yang mentadbir alam ini dengan Maha Bijaksana. Allahuakbar!
Selain dari cerita di atas, ada beberapa kali juga nasihat-nasihat lain menjengah di telinga.InsyaAllah jika ada kelapangan saya akan kongsikan.
Mudah-mudahan ia bermanfaat juga semua.

Wallahua’lam.

0 comments on "Suara siapa?"

Post a Comment

 

WARIDAH LOTHPI Copyright 2009 Template Designed by Ikhwan Nain