Thursday 29 September 2011

Transformers! More than meets the eye!

Posted by mom at 17:58
Zaman jahiliah, 1997

“ Aduhai, nampak dah puak-puak tu!” bisik saya sendirian.

Seperti selalu, saya berjalan seorang diri melalui jalan pintas untuk pulang ke rumah. Pada kebiasaannya perjalanan akan mengambil masa sekitar 20 minit dan perlu melalui beberapa buah kilang. Satu perkara yang paling tidak digemari ialah terpaksa menghadapi beberapa pekerja kilang yang memang sinonim dengan kenakalan mereka mahu mengusik mana-mana perempuan muda yang melalui jalan itu.

“Phewit! Adik jalan sorang ke? Tak takut ke? Nak abang teman? Hahaha!” ayat yang sudah lali di telinga.

“Hish, tak boleh jadi ni! Kena diamkan mereka ni” saya nekad untuk buat sesuatu.

Akhirnya...bertukar! Saya kulumkan lidah, tutup mulut dan rupa saya berubah sehabis-habisnya menjadi ala-ala Halimah Jongang.
 Apabila sampai sahaja di hadapan mereka, ghaib! Semuanya lari masuk ke kilang semula.

“Berjaya!!” jerit saya.
Selepas insiden itu saya tidak pernah diganggu lagi.

1998

“Adik, you  kerja butik avon, you  kenalah pakai cantik-cantik. Mekap sikit ke. Macam mana you jual barang tapi you sendiri ‘tarak’ guna?” tegur seorang pelanggan tetap butik itu.

Saya hanya mampu tersenyum.

Seusai sahaja peperiksaan SPM, saya bekerja sementara di sebuah butik avon milik kawan ibu saya. Biasalah, namanya pun butik kecantikan. Tentulah pekerja-pekerjanya perlu ‘outstanding’ juga.

Namun entah kenapa, saya tidak mampu untuk berbuat begitu. Pada saya, memakai mekap, berpakaian seperti remaja lain, hanya akan mendedahkan diri kepada bahaya. Saya tidak suka pada pandangan mata liar yang memerhati atas ke bawah seperti mahu menelan orang itu.
Tentunya saya lebih selesa dengan apa yang saya pakai pada waktu itu; jeans, kemeja t dan bertudung tiga segi. Hendak memakai baju ketat? Oh, tidak sekali!

Penyelesaiannya?

Sekali lagi, saya bertukar! Satu-satunya cara untuk menyelamatkan diri ialah dengan menjadi ‘orang lain’. Lalu, bertukarlah saya menjadi tomboy ‘jadian’. Berjalan, duduk dan bercakap seperti lelaki. Tujuannya hanya satu, supaya saya tidak perlu berhias-hias.
Setelah itu tiada siapa lagi yang mempertikaikan.
“Dah memang dia begitu!” kata pelanggan.

Alhamdulillah, sukses lagi!

Hidayah Allah

Begitulah antara perjalanan hidup saya (ada banyak lagi) sebelum benar-benar mengenali Islam. Dahulunya Islam saya hanya pada ritual. Buat itu dan ini atas arahan,  juga kerana dipengaruhi gerak hati.
Sehinggalah saya diterima belajar di Batu Pahat, barulah saya faham sedikit sebanyak tentang anutan saya ini melalui usrah, kuliah-kuliah pengajian dan aktiviti keagamaan yang lain.

Saya mula memahami satu hakikat penting dalam kehidupan manusia.

Manusia secara fitrahnya, sentiasa mahu berada dalam keadaan selamat.

Selamat dari gangguan.

Aman dari fitnah.

Buatlah apa sahaja, asalkan selamat. Saya bertukar menjadi Halimah Jongang, tomboy ‘jadian’ dan sebagainya, atas keyakinan pada waktu itu, bahawa transformasi tersebut akan menyelamatkan saya.

Akhirnya saya sedar fitrah itu subur dengan Islam.

Hidup dengan cara Islam…selamat.
Berpakaian dengan cara Islam….aman.

Jika masih ada yang ragu, cuba nyatakan apakah ada agama lain yang lebih sempurna daripada Islam?

Kita semua tahu jawapannya.
Wallahua’lam.

0 comments on "Transformers! More than meets the eye!"

Post a Comment

 

WARIDAH LOTHPI Copyright 2009 Template Designed by Ikhwan Nain