Sunday 13 November 2011

Dilema Mendidik Anak

Posted by mom at 23:51

“Lepaih ni jangan jadi budak jahat no!”kata atuk saya pada Umar semasa beliau mahu pulang ke kampung.

Datuk saya selalu juga datang ke Kuala Lumpur, dan pernah sekali beliau dibawa datang ke rumah saya bersama-sama emak dan abah.

Kebetulan, anak sulung saya, Umar yang ketika itu berumur 4 tahun sedang bermain bola. Tanpa sengaja, bola yang dibalingnya terkena kepala atuk saya.

“Umar, salam nyang, minta maaf!” saya menegur sambil mengenggam tangannya.
Mungkin kerana malu, dia terus lari naik ke biliknya.

Atuk saya seperti tidak dapat menerima kaedah menegur anak begitu. Baginya, jika anak berbuat salah, perbuatan itu harus ditegur dengan tegas dan keras. Lebih tepat lagi dengan pukulan sebagai peringatan. 

Dilema

Di sinilah timbul isunya.

Berdasarkan buku-buku parenting dan pembacaan lain, antara cara mendidik anak yang betul ialah; apabila anak melakukan kesalahan, tegur anak itu dengan hemah dan tertib, psiko kata sesetengah orang. Anak juga tidak boleh dimalukan di hadapan orang lain, kerana tindakan sebegitu akan merendahkan maruah dirinya sebagai manusia!

Namun, kaedah sebegitu sentiasa dirasakan tidak praktikal. Dengan logic akal dan kemampuan kita mengawal emosi, sudah tentunya kita faham, bahawa anak perlu dihukum serta merta setiap kali dia terbuat silap, supaya dia tidak akan melakukan silap yang sama di masa akan datang. Saya juga secara peribadi tidak menafikan keberkesanan kaedah ini. Mahu mengelak dari dihukum dan dimalukan, maka secara automatic, seboleh mungkin akan berhati-hati untuk tidak  berbuat silap lagi.

Mungkin juga ia hanya berkesan di zaman batu, tidak lagi di zaman millennium seperti sekarang?
Buntu sekali.

Puji atau biarkan sahaja?

Halim (bukan nama sebenar) merupakan seorang jurutera di sebuah syarikat konsultan. Semasa zaman persekolahannya, beliau sentiasa sahaja menjadi pelajar terbaik. Straight A’s untuk kesemua peperiksaan besar yang pernah didudukinya. Pengajiannya ditaja semenjak tingkatan 1 sehingga tamat universiti. Seusai tamat pengajian, terus sahaja berkhidmat dengan syarikat perkapalan dan dengan track record beliau yang cemerlang sejak kecil, beliau sentiasa mendapat tawaran pekerjaan di syarikat gergasi lain.

Satu perkara yang cukup menghairankan saya, walaupun Halim seorang yang bijak, beliau tidak pernah mendapat pujian daripada ibu bapanya atas kecemerlangannya itu.
Saya ulang, TIDAK PERNAH MENDAPAT PUJIAN DARI IBU BAPANYA.

Ibu bapanya tidak pernah mengabaikannya, diberi pendidikan agama sejak kecil, dicukupkan makan pakai dan ilmu asas tentang kehidupan, tetapi apabila berjaya, mereka tidak memujinya. Kalau ikutkan logic akal, tentu sahaja Halim boleh memberontak. Belajar sepenuh jiwa, tetapi tidak pula dihargai oleh ibu dan bapa dengan sentuhan emosi sebagai rangsangan.

Tetapi hakikatnya tidak begitu.

Halim menjadi manusia yang sangat berpendirian, dan tidak pernah terkesan dengan puji atau keji manusia. Beliau buat apa yang dirasakan perlu dibuat. Sepanjang mengenalinya, saya teramat kagum dengan kekuatan jiwa yang dimilikimya.

Sekali lagi saya buntu. Patutkah kita sentiasa curahkan pujian kepada anak? Tidakkah nanti dia akan membesar sebagai manusia yang hanya berbuat apabila mendapat ganjaran?

Buntu sekali lagi.

Wallahua’lam.

0 comments on "Dilema Mendidik Anak"

Post a Comment

 

WARIDAH LOTHPI Copyright 2009 Template Designed by Ikhwan Nain