Sunday 20 November 2011

TWAS

Posted by mom at 17:44
Betul. Anda tak salah baca. Memang begitulah ejaannya.
TWAS.
Bukannya TAWAS, sejenis bahan yang berbentuk ketulan seperti batu yang digunakan di bawah lengan untuk menghilangkan masalah bau badan itu.
‘Together We Are Something’ , adalah program yang dikendalikan bersama dengan 3 sahabat baik saya semasa berada di Politeknik Johor Bahru dahulu.
Intipatinya mudah sahaja. Berkaitan dengan perkara-perkara fardhu ain yang sepatutnya sudah menjadi darah daging di kalangan pelajar perempuan yang beragama Islam.
Solat.
Aurat.
Dua perkara yang sudah menjadi terlalu biasa, hingga tidak ada apa lagi yang istimewa pada kedua-duanya. Sedih!
Cerita lama
“Eh, Wa. Ko nak solat macam tu ke?” tanya sahabat baik saya, Eila Sharif.
“Ya lah nak solat, apa lagi? Kenapa pula?” tanya saya kehairanan.
“Seluar ko tu basah, terkena  air dari tandas kan? Takkanlah ko nak menghadap Tuhan dengan keadaan begitu. Mungkin juga basah tu sebab terkena air najis, kadang-kadang tak perasan kan? Gantilah dengan pakaian lain. Nak solat semuanya perlu suci dan bersih,” terangnya.
Terdiam.
Tak pernah pula saya terfikir begitu. Nak solat, solat sahajalah. Ambil wudhuk, pakai telekung putih, berdiri atas sejadah dan solat. Habis cerita!
Teguran sahabat baik dunia akhirat itu, menjadi pembuka jalan untuk saya lebih belajar tentang PROTOKOL untuk menghadap ke bawah duli Allah, Raja Segala Raja yang Maha Agung.
Sebelumnya, pernah juga saya ternampak seorang senior bersolat dengan memakai tudung terlebih dahulu sebelum menyarungkan telekung.
“Kenapa kena pakai tudung, kak? Telekung tu kan dah cukup?” saya bertanya pada Kak Elmy.
“Oh, telekung ni jarang, Wa. Kalau pakai telekung sahaja, maknanya tak tutup auratlah. Nanti solat tak sah,”jawab kak Elmy.
Terdiam lagi.

Pengajaran Untuk Orang Lain
Kebanyakan orang begitulah.
Memandang solat hanya bagai melepas batuk di tangga sahaja. Jarang sekali mahu peduli tentang perkara wajib yang sepatutnya dibuat, tetapi terlepas pandang.
“Alah, dah solat dahlah. Yang penting buat! Bukannya tak solat langsung!” kata orang yang patut dikasihani kerana tidak mengerti.
Tidak semudah itu.
Lantaran kejahilan dan ketidakmahuan ramai orang terutamanya muslimah untuk mendalami adab-adab bersolat, maka Kak Yusnirah Yusop, Eila Sharif, Siti Zulia Pirin, dan saya serta bersama-sama sokongan moral dan padu dari rakan-rakan sepejabat Jabatan Kejuruteraan Elektrik, kami menganjurkan TWAS.
Sasaran wajibnya ialah pelajar muslimah semester 1. Mereka yang tidak hadir perlu berjumpa dengan Ketua Jabatan untuk memberi surat tunjuk sebab. Ada berani? Tentulah tidak. Lantaran itu hanya segelintir sahaja yang tidak menghadirkan diri.
Intipati TWAS
1.       Perkara asas yang sering orang tidak perasan ialah perihal bersuci. Sebelum mengambil wuduk, seorang muslimah perlu mensucikan dirinya dahulu. Kebiasaannya, ramai yang tidak tahu, bahawa sebarang cairan samada keputihan dan sebagainya, hukumya HARAM dibawa di dalam solat. Kotoran itu perlu dibersihkan. Untuk memudahkan muslimah yang sentiasa berada di luar rumah samada bekerja atau belajar,maka penggunaan panty liner amatlah digalakkan. Buang panty liner itu setiap kali mahu bersolat bagi menjaga kesucian pakaian.

2.       Hukum berwudhuk sebelum solat adalah wajib. Maka dengan itu, perlu dijaga kesempurnaannya bagi memastikan keberkesanan solat. Kebanyakannya ‘cincai’ sahaja bab wudhuk ini. Boleh pula bergurau senda semasa mengangkat hadas kecil itu! Bahagian yang perlu dilalukan dengan air, maka lalukanlah. Jangan ada yang tertinggal. Lebih baik lagi, dapat membaca doa pada setiap anggota wudhuk semasa air melaluinya.

3.       Kalau diperhatikan betul-betul, kebanyakan telekung putih selapis yang dipakai kebanyakan orang adalah jarang. Boleh ternampak lengan, leher dan bahagian badan lain yang tidak ditutupi baju. Jadi bagaimana dengan solat itu? Tentu sahaja tidak sah, kerana antara syarat sah solat ialah menutup aurat. Jarang bermakna aurat belum tertutup dengan sempurna. Maka seboleh-bolehnya, beli atau buat sendiri telekung yang lebih tebal, atau tutup semua bahagian tubuh kecuali muka dan tapak tangan dengan pakaian biasa.
Sebaiknya, bawalah telekung tebal itu setiap kali keluar ke mana-mana untuk memudahkan urusan solat, tak perlulah mengharapkan telekung  di surau  pasaraya yang mungkin sudah berbulan-bulan tidak berbasuh itu!
Pilihan lain, pakai pakaian yang menutup aurat sepenuhnya setiap kali keluar rumah. Apabila mahu bersolat, terus bersuci, berwudhuk, gantikan dengan stoking yang bersih dan solat sahaja dengan pakaian itu.

Saya pernah jahil dalam memahami  hukum asas Islam ini. Lantaran itu, saya tidak mahu orang lain membuat silap seperti saya. Perlu diingat, seperti kata orang alim agama, solat yang tidak memenuhi syarat sah solat, perlu diganti semula. Ada dayakah, mahu mengganti solat ‘cincai’ yang bertahun-tahun itu? Solat yang ada pun sering culas, apatah lagi mahu mengganti beribu rakaat!
Ayuh buat perubahan! Sebarkan mesej ini kepada seramai mungkin muslimah di luar sana.
Mungkin masih ramai yang terlupa.
Wallahua’lam.
  

0 comments on "TWAS"

Post a Comment

 

WARIDAH LOTHPI Copyright 2009 Template Designed by Ikhwan Nain