Thursday 24 November 2011

Kerja KITA!

Posted by mom at 01:16
“Wanita Islam diharamkan menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri , Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
“Peserta-peserta itu wajib bertaubat dengan segera bagi mengelakkan daripada mendapat balasan azab dari Allah SWT, sama ada di dunia atau di akhirat. Termasuklah juga orang Islam yang terlibat dengan penganjurannya serta hadir untuk menonton, semuanya wajib bertaubat segera,” demikian kata Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut.
Alkisahnya, kedua-dua tokoh di atas menegur 5 peserta beragama Islam yang menyertai Miss Borneo 2011 pada Sabtu yang lalu.  
Alhamdulillah! Allahuakbar!
Syukur tidak terhingga kepada Allah, kerana agamawan masih lagi peka dengan perkembangan semasa, peduli pada kemungkaran yang berlaku dan bertanggungjawab pula untuk memberikan teguran. Syabas!
Real Problem
Mari berfikir di luar kotak. Agak-agaknya, mengapakah kelima-lima gadis tersebut menyertai pertandingan itu? 
Kebiasaannya, pertandingan ratu cantik hanyalah batu loncatan untuk peserta-pesertanya terjun ke bidang lain selepas itu. Bidang apa? Takkanlah menjadi ustazah pula!
Sebahagian besar daripada mereka, terus sahaja menceburi dunia  glamor dan bergemerlapan sebagai artis. Mengapa pula mahu menjadi artis? Tentu sahaja kerana pesona dunia itu yang menawarkan kemewahan, kesenangan, sentiasa dipuja dan dipandang ramai.
Itulah dia masalah sebenarnya.
Jika benar bersungguh mahu menyelamatkan wanita Islam di Negara ini dari fahsya’, maka buatlah sesuatu untuk membetulkan dunia artis yang banyak mungkar dari baiknya itu.
Lihat sahaja apa yang dipakai artis apabila menghadiri majlis anugerah, ada di antaranya yang lebih teruk dari apa yang dipakai dalam pertandingan ratu. Mengapa  tidak menegur?
Apa yang lebih menyedihkan, ada juga di antaranya yang mahu kebal dari teguran, menggunakan suara Persatuan Seniman untuk membela artis-artis yang ditegur ulama’!
Amar makruf Nahi Mungkar
“Hendaklah terdapat antara kamu segolongan yang menyeru dengan kebaikan dan mencegah dari kemungkaran. Itulah golongan yang berjaya”(Al-Imran:104)
Mengajak orang kepada kebaikan, insyaAllah tidaklah sukar kerana fitrah manusia memang suka kepada kebaikan.
Namun demikian, mencegah dari perkara mungkar yang sudah dianggap biasa, sukarnya ia hingga tidak boleh diterjemahkan dengan kata-kata!
Mudahkah, menegur orang yang tidak menutup aurat?
Mudahkah, membetulkan solat yang tidak betul tetapi disangka betul?
Mudahkah, menegur orang yang ber’dating’ sama ada nyata atau di alam maya?
“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali bagi mereka yang beriman dan beramal soleh. Yang berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran.”(Al asr 1-3)
Allah yang Maha Bijaksana telah menjelaskan, peringatan dan amaran tentang Tuhan dan akhirat hanya berkesan pada orang yang takut kepada Tuhannya semasa tidak dilihat orang dan tidak melihat azab Tuhan.  Mengajak Muslim kembali kepada iman dan kebenaran, sentiasa sahaja perlu ditemani dengan kesabaran.
Mengapa?
Nasihat berbakul-bakul, tidaklah berguna selagimana ‘rasa’ pada Tuhan itu masih belum ada. Maka, hal itu yang perlu difokuskan dahulu. Mengajak manusia untuk mencari, mengenali dan mencintai Tuhannya. InsyaAllah, setelah itu segala teguran dan nasihat akan lebih rasional untuk diterima.
Ini bukan hanya kerja orang agama. Ini kerja KITA. Jika benar sayangkan agama, sayangkan muslim dan muslimah, maka lakukanlah sesuatu.
Segalanya akan ditanya oleh Pencipta apabila tiba masanya.
Wallahua’lam.



0 comments on "Kerja KITA!"

Post a Comment

 

WARIDAH LOTHPI Copyright 2009 Template Designed by Ikhwan Nain