Wednesday 16 November 2011

Terpukul lagi!

Posted by mom at 04:32
"Maaf ya, puan. Kami tutup tadika cuti sekolah nanti, sebab terpaksa buat persediaan untuk buka tadika baru tahun hadapan," kata saya kepada semua ibu bapa anak-anak tadika.

Memandangkan tadika yang saya dan suami kendalikan ini adalah tadika warisan, maka sepatutnya kami perlu membuka operasi sepanjang tahun termasuk semasa cuti sekolah, bagi memudahkan ibu bapa yang kesemuanya bekerja.

Namun begitu, disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, maka kami terpaksa juga menutup operasi. Oleh sebab itu, 5 pelajar telah berhenti menjelang November kerana kami hanya beroperasi separuh bulan sahaja. Maka yang tinggal cuma 8 anak-anak tadika dan 4 anak saya sendiri. 12 orang kesemuanya.

Mampukah?

Emak pula sudah pulang ke kampung setelah sebulan memberi bantuan dan sokongan yang tak terhingga sepanjang mengendalikan tadika ini.
"Ko jangan jerit-jerit sangat da, buat sakit leher je. Suruh je budak-budak ni menulis. Biar bengkak tangan pun tak apa sebab menulis," pesan emak sebelum pulang.
Risau juga emak hendak meninggalkan saya bersama anak-anak tadika, kerana tahu saya sering sahaja naik hantu mengendalikan mereka.


All By Myself

Alhamdulillah, hampir 2 minggu saya bertugas seorang diri, jarang sekali saya menaikkan suara.

Allah! Sudah menjadi 'orang'kah diri ini? Hantu yang dulu, sudah tiadakah?

Damai. Tenang sekali.

Anak-anak tadika juga lebih mendengar kata. Mereka sendiri yang datang kepada saya minta diajar jika saya terlupa apa-apa. Tak sangka. Logik saya ialah, mahu orang menurut, suara tak boleh direndahkan, kena tinggi sentiasa.

Oh, salah rupanya.

Ia adalah pengajaran yang sangat besar untuk saya. Kanak-kanak juga ada hati dan maruah diri. Hanya kerana mereka baru sahaja beberapa tahun menjengah dunia, tidaklah bermakna mereka perlu diherdik sesuka hati oleh si tua yang perasan kononnya lebih bijak dan berautoriti!

They are just being themselves, being kids.

Seharusnya diri yang sudah tua dan lebih lama hidup inilah yang perlu memahami mereka. Kanak-kanak perlukan bimbingan dan role model yang tepat sebagai panduan untuk mereka hidup sebagai manusia yang murni jiwanya. Malang sekali, sebulan yang lepas saya telah memberi contoh yang silap.

Kalau tersalah, jerit sahaja.

Tak puas hati, membebel sampai berdarah telinga yang mendengar!

Astaghfirullah!

Saya sedang menebus silap besar itu. Mudah-mudahan 2 minggu yang berbaki ini, saya dapat memberi sesuatu yang lebih baik kepada mereka.

"Anak-anak, maafkan cikgu!"

Wallahua'lam

0 comments on "Terpukul lagi!"

Post a Comment

 

WARIDAH LOTHPI Copyright 2009 Template Designed by Ikhwan Nain